Monday, May 10, 2010

MEMORI SEKOLAH MENENGAH

Kebaikan dan Keburukan Pembinaan Lebuh Raya


Konsep - Semua lebuh raya yang dibina oleh kerajaan atau swasta - 4 atau lebih lorong - bertol dan tidak bertol - cth bertol, Lebuhraya Utara-Selatan, NKVE,MRR2 dll.- tak bertol, Lebuhraya Alor Gajah-Melaka-Jasin, Lebuhraya Senai-Johor Bahru dll.


Kebaikan

1. Menjimatkan masa perjalanan - kurang halangan,cth tiada lampu isyarat, pusingan u, kenderaan berhenti untuk turunkan penumpang dll - kelajuan konsisten.

2. Selamat dan selesa - kurang kemalangan berbanding jalan biasa, banyak kemudahan, khidmat pelanggan yang cekap disediakan.

3. Mengurangkan kesesakan.


Keburukan

1. Kos perjalanan meningkat - bayar tol, belanja tak dirancang meningkat ( ada banyak tarikan di hentian Rawat dan Rehat - harganya mahal.

2. Masalah alam sekitar - penerokaan kawasan hutan untuk membina lebuh raya meningkatkan risiko tanah runtuh, pemendapan sungai, banjir kilat dan sebagai- banyak berlaku di kawasan bandar.

Tuesday, May 4, 2010

DISIPLIN PELAJAR : Diskusi

FAKTOR-FAKTOR UTAMA
Banyak faktor yang menyebabkan masalah kemerosotan disiplin pelajar pada masa kini berlaku. Punca utama ialah pengaruh media massa. Filem, suratkhabar, majalah, dan televisyen yang menonjolkan budaya kuning amat mudah diikuti oleh para pelajar. Babak ganas dan seks akan menjadikan fikiran remaja keras dan rakus. Hal ini tidak dapat dinafikan kerana usia mereka yang rata-rata berusia antara 12 hingga 20 tahun masih dianggap mentah.
Selain itu, kemerosotan disiplin para pelajar juga terjadi kerana masalah keluarga. Ayah dan ibu sering berkelahi di hadapan anak-anak dan pada waktu yang sama mengharapkan anak-anak mereka berjaya dalam pelajaran. Sesetengah ibu bapa pula menyerahkan soal disiplin sepenuhnya kepada pihak sekolah, sedangkan pada hakikatnya pembentukan moraliti seseorang itu bermula di rumah.
Sesetengah pelajar pula menjadikan sekolah sebagai tempat untuk melupakan segala masalah. Namun, keadaan di sekolah bukanlah seperti yang diimpikan oleh ibu bapa. Guru memang ingin membantu masalah yang dihadapi oleh pelajarnya, tetapi jumlah pelajar yang ramai di dalam sebuah kelas menyebabkan kesempatan guru terbatas.
Hukuman atau denda yang dikenakan kepada sesesorang pelajar juga merupakan faktor yang menyebabkan seseorang pelajar itu menjadi semakin liar. Pihak sekolah perlu menggunakan pendekatan psikologi apabila berhadapan dengan pelajar-pelajar yang tidak berdisiplin. Namun begitu, ini juga tidak menyelesaikan masalah kerana para pelajar tidak akan takut jika sesuatu kesalahan dihukum dengan nasihat sahaja.
Pengaruh rakan sebaya juga turut mempengaruhi disiplin para pelajar merosot. Ada pelajar yang masih berkawan dengan rakan yang tidak bersekolah. Mereka yang tidak bersekolah ini mungkin kerana keciciran dalam pelajaran ataupun sudah menamatkan alam persekolahan akan berlagak dewasa dengan menghisap rokok, berpakaian tidak senonoh, dan melakukan sesuatu tindakan untuk menarik perhatian.
Keadaan ini akan menjadi lebih buruk lagi bagi pelajar miskin. Kedua-dua ibu bapa sibuk mencari nafkah, si anak akan terbiar dan memilih haluan sendiri. Pelajar ini mempunyai perasaan rendah diri. Bagi menunjukkan diri mereka hebat dan berkemampuan, peraturan yang ditetapkan oleh pihak sekolah tidak diikuti.
Sebenarnya masalah kemerosotan disiplin saling berhubung kait. Oleh itu, tidak wajar jika sesetengah pihak sahaja yang dipersalahkan. Para pelajar, ibu bapa, dan guru mestilah memainkan peranan mereka masing-masing.
Negara kita menghadapi masalah kekurangan guru lelaki di mana fenomena ini mungkin menjadi salah satu punca kemerosotan disiplin. Nisbah antara guru lelaki dengan guru perempuan pada kadar 4:6. (Berita Harian :19 Julai 1999) . Keadaan yang lebih meruncing sangat dirasai di sekolah rendah dan menurut Kementerian Pendidikan, fenomena kekurangan guru lelaki akan berterusan dalam beberapa tahun yang akan datang kerana jumlah guru pelatih perempuan di maktab perguruan melebihi jumlah guru pelatih lelaki. Begitu juga di peringkat universiti , di mana kaum lelaki amat tidak begitu berminat untuk menceburi bidang pendidikan.
Sememangnya hal disiplin pelajar biasanya diserahkan kepada guru lelaki yang bermisai lebat dan berwajah garang. Apabila orang lelaki semakin menghindari profesion ini, ada pendapat yang menyatakan bahawa tahap disiplin pelajar hari ini semakin merosot.



FAKTOR-FAKTOR BERLAKU BANJIR



Banjir berlaku disebabkan oleh beberapa faktor. Antara faktor banjir berlaku ialah:-

Hujan yang berterusan.
Hujan yang berterusan tanpa berhenti-henti akan menyebabkan banjir berlaku.Tidak dapat dielakkan fenomena cuaca umpamanya musim monsun, jumlah hujan luar biasa direkodkan Jabatan Kaji Cuaca pada musim tertentu yang menyebabkan banjir berlaku. Di kawasan-kawasan rendah, air hujan akan dialirkan ke sungai. Sungai yang dipenuhi air akan melimpah keluar sehingga menyebabkan kawasan tanah rendah dipenuhi air.



Proses pembandaran.
Proses pembandaran menyebabkan banyak kawasan yang dipermodenkan. Kawasan-kawasan tanah rendah telah ditebus guna dengan mengambil tanah dari kawasan bukit. Ada juga anak-anak sungai yang ditimbus untuk dijadikan tapak bangunan. Banyak tanah lapang disimen untuk aktiviti perdagangan, riadah, dan sebagainya. Air tidak diserap oleh bumi.



Aktiviti-aktiviti seperti ini merupakan faktor penyebab berlakunya banjir. Jika dahulu anak-anak sungai dan lembah dijadikan kawasan aliran air, kini kawasan tersebut telah ditimbus dengan tanah. Apabila hujan turun, air akan mengalir dari kawasan bukit ke kawasan yang rendah dan kemudian bertakung. Lama-kelamaan air akan bertambah dan banjir kilat akan berlaku.



Pemendapan sungai dan hakisan sungai.
Hakisan sungai yang kerap berlaku disebabkan oleh dua faktor iaitu hakisan berlaku secara semula jadi dan pembuangan sisa domestik manusia.

Faktor semula jadi berlaku apabila hujan turun dengan lebat, air akan mengalir deras and menghakis tebing-tebing sungai. Akhirnya tanah tebing akan runtuh dan membentuk satu mendapan di dasar sungai. Seterusnya sungai akan menjadi cetek.



Begitu juga dengan aktiviti manusia yang suka membuang sisa-sisa domestik seperti sampah-sarap dan sisa-sisa industri ke dalam sungai boleh menyebabkan sungai menjadi cetek dan pengaliran air tersekat.

Apabila hujan lebat turun, sungai yang telah menjadi cetek akibat hakisan semula jadi atau pencemaran tidak dapat menampung atau mengalirkan air hujan yang banyak. Akhirnya air sungai akan melimpah ke tebing dan dengan ini banjir akan berlaku.



Pemusnahan kawasan hutan tadahan.

Hutan merupakan satu kawasan yang menempatkan pelbagai jenis tumbuhan dan haiwan. Selain itu hutan juga boleh dijadikan sebagai pengimbang ekosistem dunia dengan merendahkan kadar suhu. Hutan menyerap air hujan yang turun ke permukaan bumi dengan kadar antara dua peratus hingga 20%. Kemudian air yang diserap akan dialirkan ke anak-anak pokok melalui akar. Ada juga proses pemeluwapan dilakukan dengan membebaskan semula titisan-titisan air ke udara. Dengan ini berlaku kitaran air secara semula jadi.



Pemusnahan hutan menyebabkan hujan terus turun ke bumi tanpa diserap oleh tumbuhan. Hujan yang turun dengan lebat menyebabkan air mengalir dengan banyak ke dalam sungai. Sungai tidak mendapat menampung air hujan dalam jumlah yang banyak. Pada masa ini limpahan air sungai akan berlaku mengakibatkan banjir.



Sistem perparitan tidak terancang, tidak diselenggara, tidak sempurna.

Masalah banjir yang sering melanda bandar adalah disebabkan kekurangan sistem perparitan yang dibina serta ianya terlalu kecil dan cetek. Jumlah air yang banyak menyebabkan air melimpah keluar dari parit menyebabkan banjir kilat berlaku.



Banyak sistem perparitan yang sudah rosak/runtuh/tidak dibersihkan.



KESAN-KESAN BANJIR

Banjir memberikan beberapa kesan yang tidak baik terhadap semua hidupan sehingga boleh membawa kematian. Antara kesan yang timbul disebabkan oleh banjir adalah:

Menimbulkan banyak kerugian dalam bidang pertanian.

Kemusnahan tanam-tanaman dan penternakan
Air banjir yang bertakung terlalu lama di kawasan pertanian menyebabkan tanaman mati. Antara tanaman yang mudah mati adalah getah, koko, kepala sawit dan padi. Kemusnahan tanam-tanaman ini akan merugikan para petani.

Ternakan terbunuh kerana terperangkap dalam banjir/mati kebuluran/penyakit dsb

Kemusnahan Harta Benda Penduduk

Banjir yang besar boleh menenggelamkan rumah, menghanyutkan barangan ,dan merosakkan barang-barang lain seperti barang-barang elektrik, kereta dan sebagainya. Ini membawa kerugian besar kepada penduduk.

Kematian

Kematian akibat penyakit. Kesan yang paling buruk dibawa oleh banjir adalah kesihatan manusia. Banjir yang berlaku akan menyebabkan takungan najis keluar bersama-sama limpahan air. Najis ini bertaburan di merata-rata tempat sehingga mengakibatkan pelbagai jenis penyakit seperti taun dan malaria.
Penyakit lain ialah denggi, penyakit leprosi (sakit kencing tikus) banyak merebak dalam musim banjir.

Banjir juga boleh mengakibatkan kehilangan nyawa kerana lemas terutamanya di kawasan yang rendah dan berhampiran dengan sungai.


Peningkatan Perbelanjaan Kerajaan

Banjir sering merosakkan harta awam, seperti jalan raya, bangunan, telefon, elektrik dan mengakibatkan pelbagai jenis penyakit. Semua ini akan ditanggung oleh kerajaan dengan memperbaiki kerosakan dan membiayai kelengkapan perubatan. Kesemua ini memerlukan kos penyelenggeraan yang tinggi.

Selain itu,kerajaan juga terpaksa menyediakan pelbagai keperluan asas, seperti makanan dan minuman, ubat-ubatan di samping menyediakan petempatan sementara untuk mangsa banjir.







CARA-CARA MENGATASI BANJIR



Pelbagai cara dijalankan, antaranya:

Membaiki Sistem Perparitan

Parit-parit yang telah cetek akibat daripada bahan-bahan kumbahan hendaklah sentiasa dibersihkan. Dengan ini air limpahan dan hujan dapat dialirkan dengan baik.



Projek Pendalaman Sungai

Kebanyakan kejadian banjir berlaku kerana kecetekan sungai. Jika dahulu sungai mampu mengalirkan sejumlah air yang banyak dalam sesuatu masa, kini pengaliran telah berkurangan. Ini disebabkan proses pemendapan dan pembuangan bahan-bahan buangan.

Langkah untuk menangani masalah ini adalah dengan menjalankan proses pendalaman sungai dengan mengorek semua lumpur dan kekotoran yang terdapat di sungai. Apabila proses ini dilakukan, sungai bukan sahaja menjadi dalam malah mampu mengalirkan jumlah air hujan dengan banyak.



Memelihara Hutan

Kegiatan pembalakan di mana penerokaan di kawasan pinggir sungai digemari menyebabkan tanah terhakis dan runtuh ke sungai. Keadaan yang sama juga berlaku apabila aktiviti pembalakan yang giat dilakukan di lereng-lereng bukit.

Oleh itu pemeliharaan hutan merupakan cara yang baik untuk mengatasi masalah banjir. Hutan boleh dijadikan kawasan tadahan yang mampu menyerap air hujan daripada mengalir terus ke bumi.

Hutan boleh berfungsi sebagai bunga karang (sponge) dengan menyerap air hujan dan mengalir dengan perlahan-lahan ke anak-anak sungai. Ia juga bertindak sebagai penapis dalam menentukan kebersihan dan kejernihan air. Hutan mampu menyerap air hujan pada kadar 20%. Kemudian air hujan ini dibebaskan kembali ke atmosfera melalui sejatan pemeluwapan. Hanya dengan ini sahaja pengurangan air hujan dapat dilakukan.



Mengawal Aktiviti Manusia

Banjir kilat yang berlaku terutamanya di bandar disebabkan pembuangan samapah dan sisa industri ke sungai dan parit. Bagi menangani masalah ini, kesedaran kepada masyarakat perlu didedahkan supaya aktiviti negatif ini tidak terus dilakukan seperti mengadakan kempen mencintai sungai dan sebagainya.

Badan-badan tertentu juga harus bertanggungjawab menentukan sungai sentiasa bersih dan tidak dijadikan tempat pembuangan sampah.

Kejadian banjir merupakan malapetaka yang tidak dapat dielakkan terutamanya apabila membabitkan hujan lebat. Bagaimanapun usaha seharusnya dibuat untuk mengurangkan akibat banjir. Manusia juga harus sentiasa berwaspada dengan kejadian ini.