FAKTOR-FAKTOR UTAMA
Banyak faktor yang menyebabkan masalah kemerosotan disiplin pelajar pada masa kini berlaku. Punca utama ialah pengaruh media massa. Filem, suratkhabar, majalah, dan televisyen yang menonjolkan budaya kuning amat mudah diikuti oleh para pelajar. Babak ganas dan seks akan menjadikan fikiran remaja keras dan rakus. Hal ini tidak dapat dinafikan kerana usia mereka yang rata-rata berusia antara 12 hingga 20 tahun masih dianggap mentah.
Selain itu, kemerosotan disiplin para pelajar juga terjadi kerana masalah keluarga. Ayah dan ibu sering berkelahi di hadapan anak-anak dan pada waktu yang sama mengharapkan anak-anak mereka berjaya dalam pelajaran. Sesetengah ibu bapa pula menyerahkan soal disiplin sepenuhnya kepada pihak sekolah, sedangkan pada hakikatnya pembentukan moraliti seseorang itu bermula di rumah.
Sesetengah pelajar pula menjadikan sekolah sebagai tempat untuk melupakan segala masalah. Namun, keadaan di sekolah bukanlah seperti yang diimpikan oleh ibu bapa. Guru memang ingin membantu masalah yang dihadapi oleh pelajarnya, tetapi jumlah pelajar yang ramai di dalam sebuah kelas menyebabkan kesempatan guru terbatas.
Hukuman atau denda yang dikenakan kepada sesesorang pelajar juga merupakan faktor yang menyebabkan seseorang pelajar itu menjadi semakin liar. Pihak sekolah perlu menggunakan pendekatan psikologi apabila berhadapan dengan pelajar-pelajar yang tidak berdisiplin. Namun begitu, ini juga tidak menyelesaikan masalah kerana para pelajar tidak akan takut jika sesuatu kesalahan dihukum dengan nasihat sahaja.
Pengaruh rakan sebaya juga turut mempengaruhi disiplin para pelajar merosot. Ada pelajar yang masih berkawan dengan rakan yang tidak bersekolah. Mereka yang tidak bersekolah ini mungkin kerana keciciran dalam pelajaran ataupun sudah menamatkan alam persekolahan akan berlagak dewasa dengan menghisap rokok, berpakaian tidak senonoh, dan melakukan sesuatu tindakan untuk menarik perhatian.
Keadaan ini akan menjadi lebih buruk lagi bagi pelajar miskin. Kedua-dua ibu bapa sibuk mencari nafkah, si anak akan terbiar dan memilih haluan sendiri. Pelajar ini mempunyai perasaan rendah diri. Bagi menunjukkan diri mereka hebat dan berkemampuan, peraturan yang ditetapkan oleh pihak sekolah tidak diikuti.
Sebenarnya masalah kemerosotan disiplin saling berhubung kait. Oleh itu, tidak wajar jika sesetengah pihak sahaja yang dipersalahkan. Para pelajar, ibu bapa, dan guru mestilah memainkan peranan mereka masing-masing.
Negara kita menghadapi masalah kekurangan guru lelaki di mana fenomena ini mungkin menjadi salah satu punca kemerosotan disiplin. Nisbah antara guru lelaki dengan guru perempuan pada kadar 4:6. (Berita Harian :19 Julai 1999) . Keadaan yang lebih meruncing sangat dirasai di sekolah rendah dan menurut Kementerian Pendidikan, fenomena kekurangan guru lelaki akan berterusan dalam beberapa tahun yang akan datang kerana jumlah guru pelatih perempuan di maktab perguruan melebihi jumlah guru pelatih lelaki. Begitu juga di peringkat universiti , di mana kaum lelaki amat tidak begitu berminat untuk menceburi bidang pendidikan.
Sememangnya hal disiplin pelajar biasanya diserahkan kepada guru lelaki yang bermisai lebat dan berwajah garang. Apabila orang lelaki semakin menghindari profesion ini, ada pendapat yang menyatakan bahawa tahap disiplin pelajar hari ini semakin merosot.
Tuesday, May 4, 2010
DISIPLIN PELAJAR : Diskusi
Labels:
Esei
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment