Thursday, October 28, 2010


Keberkatan ilmu hanya diperoleh jika penyampai ilmu ikhlas menyampaikan ilmunya, manakala penerima ilmu pula ikhlas menerima ilmu itu. Perkara ini samalah seumpama kita menunaikan kewajipan menunaikan tuntutan Allah seperti solat, puasa, bersedekah, dan amalan-amalan lain. Tanpa keikhlasan tiadalah pahala. Apabila kita kembali kepada Maha Pencipta kelak, amalan yang dilakukan akan mengiringi kita ke kubur, malangnya amalan yang tidak ikhlas seperti solat dan puasa yang dilakukan kerana takut atau malu kepada manusia itu tidak mengikut kita ke liang lahad kerana tiada pahala yang diperoleh daripada amalan itu.Sebaliknya, amalan yang dilakukan dengan ikhlas menyebabkan pahala amalan itu berlumba-lumba mengikut kita ke liang lahad. Pahala amalan yang ikhlas itu akan melapangkan kubur, menjadi benteng seksa kubur dan meneranginya.

Orang yang menuntut ilmu tetapi bermain-main sewaktu belajar, menguji gurunya, ponteng, biadap, dan tidak taat, bolehlah dianggap tidak ikhlas menuntut ilmu.Penuntut ilmu itu tidak akan mendapat keberkatan daripada ilmu itu.Oleh sebab itulah kadang-kadang kita perhatikan ada sesetengah penuntut kelihatan bersungguh-sungguh belajar tetapi tidak berjaya menjawab soalan peperiksaan dengan baik. Ddewan peperiksaan boleh diumpama kubur manakala kerusi tempat duduk calon peperiksaan umpama liang lahad.Amalan belajar yang tidak ikhlas akan mengiringi penuntut ke dewan peperiksaan tetapi keberkatannya tidak akan mengikut penuntut itu ke tempat duduknya. Oleh sebab itu kita dapati ada sesetengah calon peperiksaan berpeluh-peluh dan memicit-micit kepala cuba mengingat pelajarannya, malangnya Allah enggan memberi ilham akibat tiadanya keikhlasan semasa menuntut ilmu.

Subhanallah, marilah kita berjumpa guru dan meminta maaf dan meminta supaya dihalalkan ilmu itu. Akui kesalahan kita terhadap guru. Guru yang baik pula janganlah menyimpan dendam terhadap pelajarnya, maafkan mereka. Jangan simpan sebarang perasaan tidak senang terhadap pelajar kerana ia umpama doa celaan. Guru mestilah lebih ikhlas daripada pelajarnya.

No comments:

Post a Comment