Tuesday, January 31, 2012

Bagaimana Hendak Alih Bentuk Dialog Ini

1. Aqilah : Syyy...pelajar.
Jawapan : Aqilah mengarahkan pelajar diam.

2. Haji Bakhir : Ooo... Nina!
Jawapan : Haji Bakhir menyebut nama Nina.

3. Selena : Opocot...
Jawapan : Selena terperanjat. ( Opocot bukanlah bentuk dialog dalam erti kata sebenar. Oleh itu bentuk alih bahasa boleh bukan dalam ayat cakap pindah).

4. Adele : Lahaulawalah...
Jawapan : Adele beraqalah.

5. Delila : Subhanallah...
Jawapan : Delila melafazkan kesucian Allah.

6. Boboi : Alhamdulillah...
Jawapan : Boboi mengucapkan/melafazkan kesyukuran terhadap Allah.

7. Tonton : Innalillah...
Jawapan : Tonton mendoakan kesejahteraan kepada orang yang ditimpa musibah itu.

8. Mat Yo : Aduhh...
Jawapan : Mat Yo mengaduh.

9. Puyu : Cis...kalau kau berani makanlah.
Jawapan : Puyu mengatakan bahawa orang itu boleh makan jika orang itu berani. ( Jangan diendahkan "CIS" itu).

10. Myra : Hem..hem, banyak kau punya duit?
Jawapan : Myra berdehem. Dia ingin tahu sama ada orang itu mempunyai banyak duit atau tidak.

Thursday, January 19, 2012

Kesalahan Bahasa Hari Ini

1. Oleh kerana itu - Oleh sebab itu. Sendi nama mesti diikuti oleh kata nama. 'Kerana' bukan kata nama, sebaliknya 'sebab' ialah kata nama.

2. Setiap orang pelajar - Setiap pelajar. Selepas kata bilangan pisahan tidak boleh hadir penjodoh bilangan.

3. Taat kepada kedua ibu bapa - Taat kepada kedua-dua ibu bapa. Kata bilangan himpunan mesti digandakan. Lagipun, 'kedua' bukan kata bilangan himpunan, sebaliknya 'kedua' ialah kata bilangan yang membawa maksud 'kedudukan'.

Ajaran Sesat STPM BM

Saya berasa amat sedih dengan beberapa bentuk jawapan calon STPM 2011 yang terang-terang telah melakukan kesalahan. Antaranya:

1. Pendahuluan Karangan - Ada guru-guru yang mengajar murid mereka supaya menulis pendahuluan dengan teknik yang lebih sesuai untuk karangan SPM. Walaupun tidak salah dari sudut penulisan karangan, namun teknik tersebut tidak relevan dengan penulisan jawapan karangan Bahasa Malaysia STPM.

Contoh pendahuluan yang tidak tepat.

a. Menulis dialog/wawancara/skrip
b. Menulis berita yang hampir sama dengan laras beita surat khabar.
c. Menulis sajak/syair/ pantun ( kecuali dalan karangan ceramah/ucapan)

2. Kata alu-aluan dianggap sebagai pendahuluan - kata alu-aluan hanyalah memenuhi kehendak format. Oleh itu pendahuluan yang mengandungi penyataan soalan, isu, skop, definisi, huraian isu, dan kehendak soalan hendaklah ditulis.

3. Kesimpulan mengandungi senarai isi utama yang telah ditulis dalam bahagian isi dan ulangan apa-apa yang telah dinyatakan dalam pendahuluan.

Wednesday, January 18, 2012

Gandaan Kata Majmuk

Pada prinsipnya, semua kata majmuk iaitu perkataan bahasa Melayu yang ditulis dengan menggunakan dua perkataan , seperti gambar rajah, Menteri Besar, Penolong Kanan, Naib Pengerusi, daun kering, udang galah, kasut bola, penagih kasih, kucing garong, kaki pukul, buah hati, dan sebagainya hanya akan digandakan pada unsur pertama kata.

Oleh sebab itu, kata majmuk Perdana Menteri ( yang sebenarnya berasal daripada perkataan sanskrit ) juga sepatutnya menerima prinsip yang dinyatakan.

Gandaan bagi kata majmuk Perdana Menteri ialah Perdana-Perdana Menteri. Walau bagaimanapun, adalah lebih baik pengguna bahasa Melayu menggunakan kata bilangan himpunan 'semua' jika hendak menulis ayat yang membawa maksud yang sama.

Contoh, Semua Perdana Menteri telah hadir kecuali Perdana Menteri Pulau Alokhir.

* Ada kekecualian iaitu kata majmuk yang dieja dengan menggunakan satu perkataan, hendaklah menerima gandaaan seluruh.

contoh : setiausaha - setiausaha, warganegara-warganegara, tandatangan-tandatangan

Tuesday, January 17, 2012

KESALAHAN BAHASA HARI INI

1. Membezakan buah yang masak dan buah yang muda - membezakan buah yang masak dengan buah yang muda.

2. ketua kampung-ketua kampung - ketua-ketua kampung - perkataan bahasa Melayu yang dieja dengan dua perkataan sepatutnya digandakan pada unsur pertama sahaja apabilam gandaan dilakukan.

3. Mengimport buruh asing - mengimport buruh - ada unsur lewah kerana pertindihan maksud 'import' dan 'asing'.

4. Setia usaha - setiausaha - walaupun dasarnya semua kata nama majmuk dieja dengan dua perkataan namun terdapat segolongan kata nama yang dieja dengan satu perkataan kerana ejaan dianggap telah mantap.

5. Warga-warga negara - warganegara-warganegara - oelh sebab kata nama warganegara dieja dengan satu perkataan, maka gandaan yang dilakukan mestilah melibatkan keseluruhan perkataan, bukan sebahagian sahaja.

* kesalahan telah dilakukan oleh pelajar, guru, dan media massa.

Monday, January 16, 2012

Kesalahan Bahasa Hari Ini

1. Definasi - definasi - asal perkataan Inggeris' definition', ejaan bahasa Melayu ikut bunyinya dan hukum keselarasan vokal.

2. seseorang individu - seseorang / individu, frasa begini dianggap lewah.

3. saling bantu-membantu - saling membantu / bantu membantu.

4.perangai tidak cantik - perangai tidak elok / tidak baik /tidak senonoh - kata adjektif 'cantik' tidak tepat digunakan untuk memberi gambaran tentang kelakuan.

5. fizikal mental pelajar - fizikal dan mental pelajar - kata hubung sepatutnya digunakan dua subjek tersebut.

6. memaklumkan kepada ibu bapa - memaklumkan ibu bapa - selepas kata kerja transitif aktif ' memaklumkan' sepatutnya diikuti objek.

7.bermula daripada hari Sabtu - bermula dari hari Sabtu - kata sendi nama daripada digunakan untuk merujuk punca, bagi menunjukkan masa, kata sendi nama dari sepatutnya digunakan.

8.hanya ada beberapa hari sahaja - hanya ada beberapa hari / ada beberapa hari sahaja - terdapat unsur lewah apabila diksi 'hanya' dan 'sahaja' digunakan dalam sayu ayat.

9. jalan itu merbahaya - jalan itu berbahaya - alormof/imbuhan yang tepat untuk menunjukkan maksud 'ada' ialah 'ber'.

10. kesan dan implikasi - ada unsur lewah - makna perkataan sama.

11. barisan guru-guru - barisan guru - penanda jamak dalam 'barisan' itu sepatutnya digunakan tanpa pengulangan objek.


kesalahan bahasa ini dikesan telah dilakukan oleh murid, guru, dan media massa.

Thursday, January 12, 2012

Wednesday, January 11, 2012

Free Tuition

Saya dapati ada ramai calon STPM persendirian gagal menjawab soalan Bahasa Melayu Kertas 2 dengan baik. Mereka bukan sahaja kurang pengetahuan tentang bahasa Malaysia malahan seolah-olah tidak faham sukatan pelajaran, dan tidak tahu teknik menjawab soalan dengan betul. Saya berasa amat simpati dan sedih. Saya bangga ada banyak calon STPM ini yang berani menghadapi peperiksaan walaupun kekurangan pengetahuan. Saya ingin membantu. Emel masalah anda, insyaAllah saya akan cuba membantu. Percuma.

khirjohariamajid@gmail.com

Analisis Bahasa

Sila nyatakan kesalahan dalam ayat-ayat berikut, buat pembetulan dan beri alasan bati setiap kesalahan.

1. Nani meminta kepada Nana keizinan untuk memakai baju baru Nani yang ada dalam simpanan Noni.

2. Puan Yati telah mengenepikan benda-benda berbahaya yang ada didalam bag tangannya.

3. Kehadiran banyak pelajar asing telah menimbulkan pula masalah sosial.

4. Setiap ekor ikan yang dipanggang malam sebelumnya Poojan sungguh sempurna.

5. Yuyu berpendapat yang Yuyi telah mengecilkan hati Cikgu Md Jin.

Tuesday, January 10, 2012

Apakala dan Darihal

1. Apakala - perkataan ini banyak digunakan dalam sastera lama. Maksud perkataan ini sama dengan kata hubung apabila, bilamana, dan ketika.

Contoh ayat :1. Nana tersipu-sipu apakala namanya dipanggil oleh Ady Putra.
2. Aqilah melompat apakala ternampak tikus itu.


2. Darihal - perkataan ini mempunyai fungsi yang sama dengan kata hubung tentang, mengenai, atau 'berkaitan dengan'.

Contoh ayat :1. Haji Khir berceramah panjang darihal cara-cara memasak udang.
2. Aron Khir menulis sebuah kajian darihal novel Ong Bak
Rindu.

Latihan Menghuraikan Isi

Kepentingan Pendidikan Prasekolah

Isi Utama- Membiasakan kanak-kanak dengan alam persekolahan.

Huraian isi- Apakah ciri-ciri alam persekolahan yang hendak dibiasakan?

Bagaimanakah prasekolah boleh jalankan peranan itu?

Apakah contohnya?

Apakah hujah bahawa prasekolah boleh mainkan peranan itu?

Apakah kesannya?

Isi Utama- Membina dan memantapkan kemahiran sosial.

Huraian isi- Apakah kemahiran sosial yang boleh dibina dan dimantapkan?

Bagaimana prasekolah dapat melaksanakannya?

Mengapa kanak-kanak boleh menyerap konsep kemahiran sosial itu di prasekolah?

Apakah kesannya?

Isi Utama- Membina dan memantapkan akhlak dan nilai hidup yang murni.

Huraian isi- Apakah contoh akhlak terpuji dan nilai murni yang boleh dibina?

Bagaimana perkara itu dibentuk di prasekolah?

Apakah kesannya

Isi Utama- Membina asas pengetahuan.

Huraian isi- Apakah asas-asas pengetahuan yang boleh dibina?

Bagaimanakah asas pengetahuan boleh dibina di prasekolah?

Apakah kesannya?

Isi Utama- Membuka peluang ekonomi kepada rakyat?

Huraian isi- Apakah peluang-peluang tersebut?

Siapakah yang mendapat manfaat?

Bagaimana manfaat itu dapat dicapai?

Apakah kesannya?


Beri jawapan anda dalam ruangan komen atau emel kepada khirjohariamajid@gmail.com

Monday, January 9, 2012

Jawapan Untuk Ammy

Soalan.

Sejak kebelakangan ini banyak pengusaha kantin sekolah menjual makanan yang kurang berkhasiat. Hal ini menimbulkan kebimbangan ibu bapa. Sebagai YDP PIBG anda ingin menghantar memorandum kepada menteri kesihatan untuk menyatakan kekesalan anda dan mencadangkan langkah untuk mengatasinya. Tulis memorandum anda selengkapnya.


Jawapan

MEMORANDUM

Kepada : YAB Menteri Kesihatan Malaysia
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Putrajaya, Kuala Lumpur.

Daripada : YDP PIBG
SMK Datuk Menteri,
Ayer Hitam, Batu Pahat,
Johor.


Masalah Penjualan Makanan Tidak Berkhasiat di Kantin Sekolah ( Tajuk )

1.0. Pendahuluan
( Sama dengan pendahuluan karangan lain , sila rujuk tips menulis pendahuluan dalam blog ini)

2.0. Penyataan Kekesalan/Penyataan Masalah
( Biasanya menghuraikan keburukan/masalah yang timbul daripada isu yang dikemukakan)

Cth: 2.1 Masalah kesihatan pelajar ( idea utama )
- kesihatan pelajar terjejas, makanan ringan tidak berkhasiat, makanan tidak seimbang
- pelajar selalu sakit - lemak, gula dan bahan pewarna berlebihan

3.0. Usul / Cadangan

Cth : 3.1. Menguatkuasakan Undang-Undang


4.0 Penutup


Tandatangan Tarikh:

....................................
Nama dan Jawatan

** Nisbah isi seharusnya seimbang antara 2.0 dengan 3.0

Thursday, January 5, 2012

Pendidikan Prasekolah




Mengapa Prasekolah Penting?

1. Mendedahkan kanak-kanak kepada alam persekolahan formal semasa berumur 4-6 tahun - cth jadual waktu, guru, disiplin, peraturan sekolah - ini boleh elakkan kejutan budaya yang menyebabkan pelajar takut memulakan alam persekolahan sebenar.

2.Membina kemahiran sosial seperti berkomunikasi dengan rakan sebaya dan orang dewasa, berinteraksi secara positif, keyakinan diri dan percaya diri.

3. Membina sahsiah murni seperti berdikari, bertanggungjawab, kerjasama, tolong-menolong, dll.

4. Membina asas pengetahuan seperti abjad, nombor dan warna.

5. Membina kemahiran psikomotor dan kecergasan fizikal.

6. Membuka peluang pendapatan dan pekerjaan kepada rakyat.

* Jika anda ada pendapat yang lain, marilah kongsi!