Wednesday, July 14, 2010
MODUL PEMBELAJARAN KARANGAN BM STPM
oleh
NAWI BIN ISMAIL
SM TEKNIK TERENGGANU
1 Pendahuluan
Karangan secara tidak langsung dapat memberikan gambaran tentang cara berfikir, kematangan idea, dan penguasaan bahasa penulisnya. Dari aspek yang lain pula, tahap ilmu pengetahuan, maklumat dan keupayaan penulis memanfaatkannya dapat diukur dalam karangan. Meskipun begitu, pelajar yang dapat menghasilkan karangan sedemikian amat kecil bilangannya, meskipun bakal menduduki STPM tidak lama lagi.
2 Disiplin Penulisan
Karangan yang dikehendaki pada peringkat STPM adalah seperti yang berikut:
2.1 Panjang karangan, antara 650 hingga 700 patah perkataan, iaitu
1 pendahuluan - anggaran 70 hingga 80 patah perkataan
6 isi - setiap isi, 80 hingga 90 patah perkataan
1 kesimpulan - anggaran 70 hingga 80 patah perkataan
2.2 Tiada kesalahan ayat dan frasa.
2.3 Mematuhi format, khususnya bagi karangan berformat.
Penilaian Kendiri 1
Adakah anda menulis karangan seperti di atas? Jika “ya” bermakna anda telah berada di jalan yang betul, dan teruskanlah. Jika “tidak”, sila betulkan kesilapan anda. Keupayaan anda untuk membetulkan kesilapan itu akan menjanjikan kecemerlangan.
3 Penilaian Karangan
3.1 Karangan dinilai berdasarkan perkara yang berikut:
• Kerelevanan (R) - 21 markah
Markah R ialah jumlah markah (P), (I), dan (K)
Pendahuluan (P) - 03 markah
Isi (I) - 15 markah (@ 3 markah)
Kesimpulan (K) - 03 markah
• Pengolahan (P) - 14 markah
• Kebahasaan (B) - 15 markah
JUMLAH - 50 MARKAH
3.2 Markah akan ditolak sekiranya karangan kurang daripada 650 patah perkataan. Bagi karangan yang lebih daripada 700 patah perkataan pula, bahagian yang lebih itu tidak akan dibaca.
4 Sasaran Minimum Pelajar
Pelajar dicadangkan agar memperoleh markah minimum bagi karangan seperti yang berikut:
Bahagian
Markah Penuh
Sasaran Minimum
Pendahuluan (P)
03
02
Isi (I)
15
12
Kesimpulan (K)
03
02
Relevan (R) , iaitu P + I + K
21
16
Pengolahan (P)
14
09
Kebahasaan (B)
15
07
JUMLAH
50
32
Penilaian Kendiri 2
i. Berapakah markah karangan anda dalam peperiksaan yang terakhir?
ii. Adakah sasaran di atas tercapai? Jika tercapai, teruskan usaha anda untuk
memperoleh markah yang lebih baik.
iii. Jika belum tercapai, adakah anda tahu daerah kelemahan anda? Jika tahu,
berusahalah untuk menangani masalah itu. Jika tidak, berbincanglah dengan
guru untuk mengetahui kelemahan anda itu.
5 Kelemahan Pelajar
Antara kelemahan pelajar dalam karangan, termasuklah:
• Ketidakupayaan pelajar untuk memikirkan enam isi yang kukuh
• Mencampuradukkan isi dengan pendahuluan
• Kegagalan pelajar mempersembahkan isi dengan betul
• Kurangnya maklumat akibat kurang membaca
• Melakukan pelbagai kesalahan bahasa, khususnya dari segi
- binaan ayat
- binaan frasa
- pemilihan kata
- penggunaan penanda wacana
- ejaan, dan
- tanda baca
Penilaian Kendiri 3
Telitilah karangan anda. Sekiranya karangan anda mengandungi kesalahan di atas, usahlah diulanginya agar markah bahasa dalam karangan anda meningkat.
6 Langkah Penulisan
Untuk menghasilkan karangan yang baik, pelajar hendaklah mengamalkan langkah penulisan, seperti yang berikut.
Langkah 1 Membuat Perancangan (10 minit)
• Menganalisis soalan – menentukan kehendak soalan
• Menyenaraikan isi
• Menyesuaikan isi – dapatkan enam isi yang kukuh
Langkah 2 Menulis Karangan (70 minit)
• Pendahuluan
• Isi karangan
• Kesimpulan
Langkah 3 Menyemak dan Membetulkan Kesalahan (10 minit)
• Ayat
• Pemilihan kata
• Ejaan dan tanda baca
• Aspek tatabahasa yang lain
Dalam peperiksaan, anda dicadangkan agar menulis karangan dalam masa 90 minit. Oleh hal yang demikian, anda perlu membiasakan diri untuk menulis karangan dalam tempoh tersebut. Cadangan masa dalam kurungan di atas boleh dijadikan panduan.
6.1 Membuat Perancangan
Amalan sesetengah pelajar yang tidak membuat perancangan dengan betul sebelum menulis karangan memungkinkan karangan yang dihasilkan tidak menepati kehendak soalan. Yang berikut ialah contoh membuat perancangan sebelum menulis karangan.
SOALAN 1
Usaha untuk menyuburkan tabiat membaca dalam kalangan kanak-kanak bagi meningkatkan budaya ilmu mesti dipergiat secara berterusan. Bincangkan langkah-langkah yang dapat diambil untuk menyemai minat membaca dalam kalangan mereka. (STPM 2002)
Menganalisis Soalan
Soalan di atas berkehendakkan langkah untuk menyemai minat membaca dalam kalangan kanak-kanak.
Menyenaraikan Isi – senaraikan apa-apa sahaja isi yang difikirkan betul. Contohnya:
i. Mengadakan Kempen
ii. Program Nilam di sekolah
iii. Ibu bapa mengadakan perpustakaan mini
iv. Perpustakaan sekolah dilengkapi dengan alam penyaman udara
v. Ibu bapa perlu membawa anak-anak ke kedai buku
vi. Kerajaan menambahkan perpustakaan / perkhidmatan perpustakaan bergerak
vii. Ibu bapa perlu mengajar anak-anak membaca
viii. Ibu bapa sendiri membaca
Menyesuaikan Isi – sesuaikan isi di atas agar menjadi enam isi yang kukuh, kemudian susun isi tersebut dan tulis maklumat sokongan yang bersesuaian
i. Ibu bapa perlu menyediakan bahan bacaan di rumah – adakan sudut bacaan atau perpustakaan mini
ii. Ibu bapa hendaklah menjadi suri teladan – bapa borek, anak rintik
iii. Ibu bapa harus membawa anak-anak ke kedai buku, tempat pameran buku, perpustakaan – didik dari awal – melentur buluh biarlah dari rebungnya
iv. Sekolah hendaklah menyediakan perpustakaan yang lengkap – buku, perabot, alat penyaman udara
v. Kerajaan seharusnya mengadakan Kempen Membaca – ceramah, peraduan, dll
vi. Kerajaan perlu menambahkan perpustakaan dan perkhidmatan perpustakaan bergerak di luar bandar
Apakah perbezaan antara Langkah 2 dengan Langkah 3? Dalam Langkah 2, pelajar boleh menyenaraikan apa-apa sahaja isi yang terlintas dalam fikiran. Ertinya, idea tersebut tidak mungkin tersusun. Oleh sebab itu, perlunya Langkah 3 untuk menyesuaikan isi dan menyusun isi tersebut agar keenam-enam isi yang akan dipersembahkan itu kukuh dan tidak bertindan antara satu sama lain.
Dalam contoh di atas, terdapat tiga pihak yang perlu memainkan peranan untuk melaksanakan langkah bagi menyemai minat membaca dalam kalangan kanak-kanak. Siapakah pihak yang dimaksudkan itu?
PANDUAN MEMIKIRKAN ISI KARANGAN
Bagi soalan yang berkehendakkan LANGKAH, CADANGAN, dan USAHA, fikirkanlah pihak yang seharusnya melaksanakan langkah tersebut, iaitu:
IBU BAPA
PIHAK SEKOLAH
KERAJAAN, DLL
Fikirkanlah langkah yang perlu dilakukan oleh pihak yang berkenaan.
Penguasaan pelajar terhadap soalan karangan amat penting. Kesilapan pelajar memahami soalan memungkinkan karangan yang dihasilkan terpesong atau menyeleweng. Yakinlah bahawa walaupun terdapat berbagai-bagai bentuk soalan karangan, namun secara umumnya soalan karangan berkisar pada aspek yang berikut.
Aspek
Contoh Soalan
Punca
Faktor
Sebab
1. Huraikan punca berlakunya kejadian tanah runtuh di negara ini.
2. Jelaskan faktor Malaysia menjadi destinasi pelancong asing.
3. Kemukakan sebab golongan belia kurang berminat untuk menyertai pertubuhan sukarela.
4. Pada pandangan anda, mengapakah kejadian banjir kilat di tempat tinggal anda berlaku?
Kesan
Faedah
Kepentingan
5. Bincangkan kesan kejadian tanah runtuh kepada rakyat dan negara.
6. Jelaskan faedah perkembangan industri pelancongan kepada rakyat dan negara.
7. Huraikan kepentingan penyertaan orang ramai dalam pertubuhan sukarela.
Peranan
Langkah
Usaha
Cadangan
8. Pada pendapat anda, bagaimanakah pihak-pihak tertentu memainkan peranan untuk menangani kejadian banjir kilat di tempat tinggal anda?
9. Kemukakan langkah untuk menangani kejadian tanah runtuh di negara kita berulang.
10. Jelaskan usaha yang wajar dilakukan untuk memajukan industri pelancongan di Malaysia.
11. Pada pandangan anda, bagaimanakah minat orang ramai yang kurang terhadap pertubuhan sukarela dapat ditingkatkan?
Sila baca soalan di atas dengan teliti sekali lagi dan senaraikanlah isi penting bagi soalan tersebut. Anda boleh berbincang dengan rakan-rakan anda untuk memperoleh isi yang kukuh. Dapatkah pelajar memperoleh isi yang betul bagi setiap soalan tersebut?
Telitilah perbezaan isi bagi tiga tajuk mengenai pelancongan di bawah ini.
Pelancongan
Jelaskan faktor Malaysia menjadi destinasi pelancong asing.
Jelaskan faedah perkembangan industri pelancongan kepada rakyat dan negara.
Jelaskan usaha yang wajar dilakukan untuk memajukan industri pelancongan di Malaysia
• banyak terdapat tempat yang menarik / bersejarah
• rakyat Malaysia berbilang kaum
• keamanan negara ini terjamin
• kerajaan dan badan swasta mengadakan promosi untuk menarik pelancong asing
• rakyat Malaysia peramah dan bernilai murni
• menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat
• menambahkan infrastruktur/memajukan kawasan tertentu
• membantu perkembangan barangan kraf
• menambahkan pendapatan negara
• menaikkan imej negara pada kaca mata orang asing
• mengenal pasti tempat pelancongan yang baharu
• menyediakan kemudahan ke destinasi pelancongan yang ada
• meningkatkan kempen / promosi
• meningkatkan usaha untuk mengekalkan keamanan negara
• menambahkan barangan kraf / seni warisan
Walaupun perkara umumnya adalah mengenai pelancongan, namun fokusnya adalah berbeza. Oleh sebab itu, isi karangan bagi setiap soalan di atas, berlainan. Jika ada yang hampir sama pun, pendekatan atau cara persembahan isi tersebut tidak mungkin sama. Pemahaman yang kukuh tentang perkara ini penting untuk mengelakkan pelajar daripada menulis karangan yang terpesong atau menyeleweng. Jika keadaan ini berlaku, pelajar akan mendapat markah yang minimum sahaja.
Penilaian Kendiri 4
Baca dua soalan yang berikut dengan teliti dan buatlah perancangan isi bagi kedua-dua soalan tersebut seperti dalam contoh di atas.
1. Telefon bimbit kini semakin digemari oleh masyarakat tanpa mengira golongan. Jelaskan sebab alat ini menjadi pilihan ramai dan kesan yang akan timbul daripada penggunaannya. (STPM 2008)
2. Penglibatan remaja dalam pelbagai kegiatan jenayah pada hari ini dikatakan berpunca daripada kegagalan ibu bapa melaksanakan tanggungjawab sewajarnya. Sejauh manakah pandangan ini dianggap benar?
Menganalisis Soalan
Kehendak Soalan 1
Kehendak Soalan 2
Menyenaraikan Isi
Soalan 1
Soalan 2
Menyesuaikan Isi
Soalan 1
Soalan 2
Anda sudah pun memperoleh enam isi bagi setiap soalan di atas. Adakah keenam-enam isi tersebut kukuh? Berbincanglah dengan rakan atau dengan guru anda untuk mendapatkan pengesahannya.
Langkah 2 : Menulis Karangan
Bagaimanakah pendahuluan karangan yang baik?
PENDAHULUAN KARANGAN
Menyatakan gambaran umum tentang isu atau fokus soalan.
Tidak memasukkan isi karangan dalam pendahuluan.
Pendahuluan tidak harus terlalu panjang atau terlalu pendek.
Panjang pendahuluan, lebih kurang 80 patah perkataan.
Lihat Soalan 1 pada halaman 3 tentang membaca. Isi bagi soalan tersebut telah disenaraikan dan disesuaikan pada halaman 4. Perhatikanlah contoh pendahuluan bagi karangan tersebut.
Pendahuluan Contoh
Tabiat gemar membaca amat penting, terutama dalam era kesejagatan kini. Hal ini demikian kerana pelbagai ilmu pengetahuan yang berkaitan dengan sains, sejarah, bahasa, agama, dan isu semasa terdapat dalam bahan sedemikian. Melalui amalan ini juga, pembaca bukan sahaja dapat mengetahui perkara yang berlaku di sekeliling mereka, malah menyedari peristiwa di dunia luar. Memandangkan tabiat membaca amat penting, usaha untuk meningkatkan amalan tersebut dalam kalangan rakyat perlu dilakukan, terutama dalam kalangan anak-anak. Hal ini sesuai dengan peribahasa Melayu, melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Pendahuluan di atas dikatakan baik kerana penulisnya ingin menulis karangan tentang langkah untuk meningkatkan amalan membaca dalam kalangan kanak-kanak. Isi tentang langkah tidak dimasukkan dalam pendahuluan di atas. Pendahuluan tersebut juga tidak meleret-leret dan meyakinkan pembaca. Peribahasa yang dimasukkan pada bahagian akhir juga sesuai. Penulisnya juga tidak melakukan kesalahan bahasa. Pendahuluan yang sedemikian layak mendapat markah penuh, 3. Dapatkah anda berbuat demikian?
Dalam ruangan Penilaian Kendiri 4 (halaman 6), terdapat soalan mengenai telefon bimbit dan jenayah remaja. Sila baca pendahuluan karangan tentang telefon bimbit yang ditulis oleh Pelajar X dan Pelajar Y yang berikut.
Pelajar X
Suatu masa dahulu, golongan yang mempunyai telefon bimbit dianggap golongan yang berada. Namun begitu, pada hari ini dapat dilihat bahawa penggunaan telefon bimbit semakin meningkat dan digunakan oleh masyarakat tanpa mengira golongan. Kanak-kanak yang berusia 7 tahun pun sudah memiliki telefon bimbit. Keadaan ini didorong oleh kebanjiran pelbagai model telefon bimbit dan jenamanya yang terdapat di pasaran. Penggunaannya juga hasil daripada era globalisasi, iaitu dunia tanpa sempadan yang melanda dunia pada hari ini.
Pelajar Y
Kemajuan sains dan teknologi berkembang dengan pesatnya dari semasa ke semasa. Situasi ini membantu penciptaan pelbagai kemudahan moden, termasuklah telefon bimbit. Kalau dahulu, telefon bimbit hanya digunakan oleh golongan yang berada, namun kini, alat komunikasi tersebut digunakan secara meluas di seluruh negara, tidak terkecuali di Malaysia. Antara jenama telefon bimbit yang terkenal di negara ini, termasuklah Nokia, Sony Ericson, dan Maxis. Selain digunakan oleh orang dewasa untuk berkomunikasi, alat tersebut juga begitu popular dalam kalangan remaja. Minat orang ramai yang begitu meningkat terhadap telefon bimbit berpunca daripada berbagai-bagai faktor.
Jika dibandingkan antara pendahuluan Pelajar X dengan Pelajar Y, pendahuluan siapakah yang lebih baik? Mengapakah anda berpendapat demikian? Setelah memahami kriteria pendahuluan yang baik, anda dikehendaki menulis pendahuluan karangan tentang jenayah remaja. Lihat soalan 2 dalam ruangan Penilaian Kendiri 4, halaman 6.
Sekiranya pelajar buntu, idea yang berikut boleh digunakan untuk menulis pendahuluan tersebut dengan lengkap.
Kadar jenayah kian meningkat
Jenayah turut melibatkan remaja, selain orang dewasa
Jangan lupa untuk menyatakan contoh jenayah yang melibatkan remaja.
Jenayah berpunca daripada faktor ibu bapa dan faktor-faktor lain.
Dalam peperiksaan STPM, terdapat tiga soalan berformat yang pernah dikemukakan, iaitu ceramah, laporan, dan memorandum. Dapatkah anda menulis pendahuluan karangan berformat? Sila baca contoh yang berikut dengan teliti untuk memahaminya dan seterusnya mematuhinya.
Soalan (Ceramah)
Andaikan anda pegawai kanan di Kementerian Pelajaran dan diminta untuk menyampaikan ceramah kepada ibu bapa dalam satu majlis di sekolah. Tajuk ceramah anda ialah “peranan ibu bapa dalam melahirkan masyarakat penyayang.” Sediakan teks ceramah anda itu.
Pendahuluan Contoh
Assalamualikum dan salam sejahtera. Yang dihormati pengerusi majlis, Yang Berusaha En. Razak bin Abdullah, Pengetua SMK Kampung Tanjung, guru-guru, ibu bapa dan hadirin sekalian. Pada pagi ini, saya akan memperkatakan “peranan ibu bapa dalam melahirkan masyarakat penyayang.”
Hadirin yang dihormati,
Usaha untuk melahirkan masyarakat penyayang sering diperkatakan oleh pemimpin negara kita. Hal ini demikian kerana masyarakat yang mengamalkan nilai kasih sayang dapat hidup dalam suasana yang harmoni, aman, dan sejahtera. Di negara yang mempunyai masyarakat majmuk, seperti Malaysia, nilai tersebut amat penting, khususnya untuk mengukuhkan semangat perpaduan. Menyedari hakikat ini, usaha untuk melahirkan masyarakat penyayang hendaklah dilaksanakan. Sehubungan dengan itu, ibu bapa hendaklah memainkan peranan penting dalam merealisasikan masyarakat penyayang di bumi bertuah ini.
Soalan (Laporan)
Selaku pegawai di Kementerian Dalam Negeri, anda telah menjalankan satu kajian tentang kejadian jenayah yang melibatkan remaja di negara ini. Berdasarkan hasil kajian tersebut, anda dikehendaki menyediakan satu laporan tentang punca penglibatan remaja dalam kancah jenayah. Dalam laporan itu, kemukakan juga cadangan anda untuk mengatasi penglibatan remaja dalam jenayah. Sediakan laporan anda itu.
Pendahuluan Contoh
Punca Jenayah Remaja dan
Langkah-langkah untuk Mengatasinya
1. Pendahuluan
Berita tentang jenayah sering diperkatakan oleh pelbagai pihak. Gejala yang dahulunya berlaku di bandar-bandar besar, kini mulai menular ke kawasan luar bandar. Kegiatan jenayah bukan sahaja melibatkan orang dewasa tetapi juga golongan remaja. Oleh sebab itu, kini, kes peras ugut, ragut, pergaduhan, pencabulan, bahkan pembunuhan turut dikaitkan dengan remaja. Peningkatan kes jenayah dalam kalangan remaja berpunca daripada berbagai-bagai faktor. Baru-baru ini, saya sebagai pegawai di Kementerian Dalam Negeri diminta untuk menyediakan laporan tentang punca penglibatan remaja dalam jenayah dan cadangan untuk mengatasinya.
Soalan (Memorandum)
Kini, stesen televisyen cenderung mengadakan rancangan hiburan yang bersifat realiti untuk menarik minat penonton. Rancangan sedemikian menimbulkan kesan negatif kepada penonton, terutamanya golongan remaja.
Sebagai pengerusi sebuah persatuan kebudayaan dan kesenian yang berpengaruh, anda diminta menghantar satu memorandum kepada Menteri Tenaga, Air, dan Komunikasi. Dalam memorandum tersebut, anda menyatakan kekesalan tentang kesan negatif yang timbul daripada rancangan tersebut dan mengemukakan usul untuk menangani kesan negatif itu. Tulis memorandum tersebut selengkapnya.
(STPM 2006)
Format memorandum agak asing bagi pelajar kerana format ini tidak dikemukakan dalam peperiksaan SPM. Walaupun format ini ada sedikit persamaannya dengan format laporan, namun pendekatan persembahannya, berbeza. Sila baca contoh yang berikut dengan teliti.
Memorandum
Kepada : YB Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi
Daripada : Pengerusi Persatuan Kebudayaan dan Kesenian
Daerah Pekan
Memorandum tentang Rancangan Hiburan
Bersifat Realiti yang Disiarkan melalui Televisyen
1. Pendahuluan
Dunia hiburan semakin berkembang di negara ini. Kini, rancangan hiburan yang bersifat realiti, misalnya Akademi Fantasia, Malaysian Idol, Mentor, dan lain-lain telah diperkenalkan oleh televisyen tempatan. Rancangan Akademi Fantasia khususnya, bukan sahaja diminati oleh anak muda tetapi juga oleh orang dewasa. Meskipun rancangan tersebut mendatangkan kepuasan kepada mereka, namun kesan negatifnya akan mejejaskan masa depan orang ramai, khususnya golongan remaja. Menyedari hal itu, Persatuan Seni Warisan Daerah Pekan menghantar memorandum ini untuk mengemukakan kesan negatif rancangan tersebut dan juga usul untuk menangani kesan yang dimaksudkan.
2. Pernyataan Masalah
2.1 Pembaziran Masa
Kewujudan rancangan hiburan yang bersifat realiti mengakibatkan banyak masa seseorang terbuang, lebih-lebih lagi bagi rancangan yang tempoh siarannya panjang. Situasi ini menjejaskan kelancaran aktiviti harian mereka yang berkenaan. Bagi sesetengah pelajar pula, mereka sanggup menangguhkan tugasan yang diberikan oleh guru semata-mata untuk berada di hadapan televisyen bagi mengikuti perkembangan rancangan hiburan yang bersifat realiti kegemaran mereka. Segelintir mereka, sanggup ponteng kelas tuisyen bagi tujuan tersebut. Sekiranya amalan ini berterusan, prestasi mereka dalam akademik akan terjejas, sekali gus menggagalkan usaha kita untuk mendidik generasi muda agar menghargai masa.
2.2 Pembaziran Wang
Penentuan pemenang melalui undian secara khidmat pesanan ringkas (sms) pula, misalnya dalam rancangan Akademi Fantasia ternyata membazirkan wang orang ramai. ... (jelaskan isi kedua)...
2.2 Pengaruh Negatif
Selain itu, cara berpakaian, pergaulan ataupun perlakuan artis yang kadangkala bertentangan dengan nilai ketimuran, ternyata mempengaruhi tingkah laku golongan remaja. ... (jelaskan isi ketiga)...
3. Usul
3.1 Mengehadkan Rancangan
Bagi menangani kesan negatif rancangan hiburan yang bersifat realiti, bilangan rancangan tersebut hendaklah dikurangkan. Selain itu, tempoh siarannya juga perlulah dipendekkan. Hal ini demikian kerana ...(jelaskan isi keempat)...
3.2 Menghentikan Undian Sms
Sistem undian yang terbukti membazirkan wang orang ramai hendaklah dihentikan. Pihak yang berkenaan hendaklah mencari alternatif lain, misalnya dengan menggunakan borang undian bagi tujuan tersebut. ...(jelaskan isi kelima)...
3.3 Menyediakan Garis Panduan
Selain itu, pihak kerajaan hendaklah menetapkan garis panduan, khususnya tentang perkara yang berkaitan dengan akhlak dan moral artis. ...(jelaskan isi keenam)...
4. Penutup
Rancangan hiburan yang bersifat realiti banyak mendatangkan kesan negatif kepada orang ramai, terutama golongan remaja. Pembaziran masa dan wang bukan sekadar merugikan mereka, tetapi turut menjejaskan usaha untuk melahirkan remaja yang bijak merancang. Persatuan ini tidak menuntut agar rancangan yang sedemikian dihentikan tetapi mengemukakan beberapa usul yang difikirkan wajar dilaksanakan untuk kebaikan semua. Sekiranya usul di atas dilaksanakan, persatuan ini yakin bahawa kesan negatif yang dimaksudkan itu akan berkurangan. Semoga matlamat negara untuk melahirkan remaja yang berwawasan akan menjadi kenyataan.
tt
......................................... 30 Mei 2009
Abdul Rahim bin Abdullah
Pengerusi
Persatuan Kebudayaan dan Kesenian
Daerah Pekan.
6.2 Persembahan Isi
Keberkesanan persembahan isi amat penting dalam menentukan mutu sesebuah karangan. Oleh sebab aspek ini tidak dikuasai dengan baik, terdapat pelajar yang menulis karangan tentang “kesan” walaupun soalan berkehendakkan “punca”. Kelemahan ini dapat diatasi sekiranya pelajar dapat membuat persembahan isi berdasarkan Borang Rangka Persembahan Isi Karangan (BRPIK) yang berikut.
BORANG RANGKA PERSEMBAHAN ISI KARANGAN
ISI HURAIAN
APA
BAGAIMANA
MENGAPA
LANJUTANNYA
Langkah
Kerajaan - mengadakan Kempen Cintailah Alam Sekitar
- Mengadakan forum, wawancara melalui televisyen - jemput tokoh alam sekitar
- Mengadakan peraduan - esei, cerpen, lukis poster - tema alam sekitar
Meningkatkan kesedaran orang ramai – generasi muda tentang kepentingan menjaga alam sekitar
Kempen yang berkesan dapat mengurangkan pencemaran alam sekitar.
Cadangan
Ibu bapa perlu mendidik anak-anak tentang faedah berjimat cermat.
- Beritahu anak-anak tentang kebaikan dan keburukan pembaziran
- Kaitkan dengan agama – cerita
- Didikan awal penting melentur buluh biarlah dari rebung
- Buat pemerhatian - puji / tegur anak-anak - tanam kesedaran
X
Punca jenayah juvana
Ibu bapa terlalu sibuk
X
- Banyak urusan – terlalu mengejar kebendaan – tiada masa untuk bersama dengan anak-anak
- Anak-anak berasa tidak diperlukan – keluar rumah
- Rakan – tempat mengadu
- Ada rakan yang merosakkan anak-anak - terjebak dalam jenayah juvana
Faktor belia tak minat pertanian
Pendapatan tidak menentu
X
- Berhadapan dengan pelbagai risiko – cuaca, serangan serangga, penyakit
- Lambat mendatangkan hasil
- Belia memilih bidang lain
- Bidang pertanian kurang sambutan
Kesan kemasukan pekerja asing
Kadar jenayah meningkat – kecurian, rompakan, pembunuhan
X
- Ada yang datang secara haram tidak mendapat pekerjaan
- Segelintir daripada mereka pernah menjadi penjenayah di negara asal
- Kesejahteraan hidup penduduk tempatan terjejas
- Timbul konflik dengan pendatang
- Boleh menjejaskan kestabilan politik negara ini
Pelajar X
Antara langkah-langkah untuk melahirkan rakyat yang bersemangat patriotisme, ialah dengan menganjurkan kempen semangat patriotisme. Kempen-kempen ini haruslah menyediakan aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan semangat patriotisme, tayangan filem dan lain-lain aktiviti. Hal ini semangat patriotisme dapat diwujudkan dalam diri masyarakat pada hari ini. Kanak-kanak juga akan melahirkan semangat patriotisme dalam diri mereka. Kanak-kanak ini yang akan membangunkan negara pada masa yang akan datang.
Isi yang hendak diketengahkan adalah sesuai, iaitu mengadakan Kempen Semangat Patriotisme. Walaupun begitu, huraiannya tidak tepat kerana Pelajar X tidak menjelaskan cara (bagaimana) dan sebab (mengapa) kempen itu perlu diadakan. Contoh filem tidak dikemukakan untuk mengukuhkan isi tersebut. Selain itu, aspek bahasanya amat lemah. Bagaimana pula dengan contoh persembahan yang berikut.
Contoh Persembahan
Untuk melahirkan rakyat yang bersemangat patriotik, pihak kerajaan hendaklah mengadakan Kempen Patriotisme. Sehubungan dengan itu, media elektronik, terutama televisyen wajar dimanfaatkan untuk menghebahkan perkara ini kepada orang ramai. Aktiviti lain, misalnya ceramah, forum, dan wawancara tentang semangat patriotik boleh diadakan. Tayangan filem yang berkaitan dengan semangat tersebut, seperti filem Bukit Kepong, Leftenan Adnan, dan lain-lain perlu ditambah. Pertandingan melukis poster, menulis esei, dan menghasilkan karya kreatif yang bertemakan semangat kebangsaan perlu diperluas kepada semua pihak. Aktiviti yang sedemikian dipercayai dapat meningkatkan kesedaran orang ramai tentang kepentingan patriotisme dalam diri setiap rakyat di negara ini..
Huraian isi di atas, mantap, jelas, bermaklumat, dan bebas daripada kesalahan bahasa. Selain memiliki maklumat yang mencukupi, penulisnya dapat mematuhi kaedah yang diajarkan. Perkara yang diperkatakan dalam perenggan di atas mematuhi kehendak dalam BRPIK di atas.
Isinya apa?
Mengadakan Kempen Semangat Patriotisme
Siapa yang
melaksanakannya?
Pihak kerajaan
Bagaimana kempen dijalankan?
• Mengadakan ceramah, forum, dan wawancara
• Mengadakan tayangan gambar
• Mengadakan pertandingan
Mengapakah kempen diadakan?
Untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang kepentingan semangat patriotisme.
Contoh?
Filem Bukit Kepong dan Leftenan Adnan.
Yang berikut dikemukakan dua petikan persembahan isi karangan tentang faktor Malaysia menjadi tumpuan pelancong asing. Petikan manakah yang lebih mematuhi cara persembahan seperti yang dicadangkan di atas?
Petikan A
Malaysia menjadi tumpuan pelancong asing kerana di negara ini banyak terdapat tempat yang menarik untuk dilawati. Di Malaysia, terdapat pantai yang indah untuk pelancong beristirahat. Selain itu, di sini juga terdapat pulau-pulau peranginan, tanah tinggi, dan hutan lipur yang menarik untuk dikunjungi. Keistimewaan tersebut tidak terdapat di tempat mereka. Oleh sebab itu, mereka memilih Malaysia untuk dikunjungi dan seterusnya menikmati keindahan alam ciptaan Ilahi. Mereka datang ke sini untuk bersiar-siar sambil menikmati udara pantai yang nyaman dengan suasananya yang menarik. Mereka mendapat kepuasan dan mendapat pengalaman yang tidak ternilai setelah mengunjungi Malaysia. Oleh itu, kerajaan hendaklah menjaga destinasi tersebut dengan menyediakan pelbagai kemudahan kepada pengunjung, terutama pelancong asing.
Petikan B
Keistimewaan alam semula jadi di Malaysia menjadi daya penarik pelancong asing ke negara ini. Pulau-pulau di Malaysia, misalnya Pulau Sipadan, Pulau Redang, dan Pulau Tioman mengandungi terumbu karang yang menarik. Di sini, pelancong boleh menyelam skuba, memancing, dan bersantai di pantai. Malaysia juga memiliki Taman Negara, iaitu antara hutan hujan tropika yang tertua di dunia. Hutan tersebut menjadi santuari kepada beratus-ratus spesies burung, kupu-kupu, serangga, dan ikan. Di sini juga terdapat pokok tualang, pokok meranti, dan pokok gaharu, iaitu sumber penghasilan air wangi. Selain dapat memerhatikan hidupan liar dan burung, pelancong boleh melawat perkampungan orang asli.
Bagaimana pula dengan persembahan yang berikut?
Pihak kerajaan hendaklah mengadakan Kempen Berjimat Cermat. Aktiviti forum dan ceramah tentang kepentingan berjimat cermat boleh disiarkan menerusi televisyen untuk tontonan orang ramai. Tokoh-tokoh ekonomi seharusnya dijemput untuk menjayakan aktiviti tersebut. Pihak kerajaan atau badan-badan ekonomi juga boleh menganjurkan pertandingan pidato, peraduan menulis esei, cerpen, atau puisi yang bertemakan amalan berjimat cermat. Langkah ini penting untuk menyedarkan orang ramai tentang faedah mengamalkan nilai berjimat cermat. Sekiranya usaha ini dapat dilaksanakan dengan teratur, tidak mustahil masyarakat yang berjimat cermat dapat dilahirkan di negara ini.
(83 patah perkataan)
Kesimpulan Karangan
Kesimpulan yang baik akan diberikan 3 markah. Antara perkara yang perlu diberikan pertimbangan semasa menulis kesimpulan adalah seperti yang berikut.
• Menyimpulkan perkara yang ditulis dan memberikan pandangan
• Masukkan peribahasa, cogan kata, statistik, pendapat tokoh yang berwibawa yang berkaitan
• Bebas daripada kesalahan bahasa
KESIMPULAN
SENTUH ISU SOALAN ULAS ISI BERIKAN PANDANGAN
Lihatlah contoh kesimpulan karangan tentang kepentingan penglibatan pelajar dalam aktiviti kokurikulum di sekolah.
Kesimpulannya, penglibatan pelajar dalam aktiviti kokurikulum dapat membantu pembentukan jati diri mereka. Melalui aktiviti tertentu, pengetahuan dan pengalaman pelajar akan bertambah. Selain itu, generasi muda yang berdisiplin dan bertanggungjawab dapat dilahirkan. Nilai-nilai tersebut amat penting untuk melahirkan modal insan yang dapat memberikan sumbangan kepada masyarakat dan negara pada masa akan datang. Oleh sebab itu, Menteri Pelajaran Malaysia, Dato’ Hishamudin Tun Hussein pernah menyatakan bahawa penglibatan murid dalam aktiviti kokurikulum amat penting untuk melahirkan insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, dan intelek, bertepatan dengan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
6.3 KESALAHAN STRUKTUR YANG MEMUSNAHKAN HARAPAN
Untuk memperoleh markah yang tinggi, elakkanlah kesalahan bahasa yang berikut.
6.3.1 AYAT
i. Tidak Menepati Struktur Ayat Pasif
a. Tindakan yang mereka laksanakan tidak menguntungkan rakyat.
b. Penerapan nilai-nilai murni yang telah kerajaan uar-uarkan sewajarnya disokong.
c. Peralatan canggih itu kami telah gunakan sejak beberapa tahun yang lalu.
d. Mereka yang terpilih telah pun Zainal hubungi petang semalam.
e. Tajuk ucapan yang akan diperkatakan oleh saya nanti amat menarik.
ii. Ayat Tergantung
a. Bagi menangani jenayah remaja hendaklah menguatkuasakan undang-undang.
b. Mereka yang didapati bersalah kerana melakukan pelbagai kesalahan.
c. Kepada golongan remaja yang gigih mengejar kejayaan perlu diberikan sokongan.
d. Untuk menghadapi cabaran alaf baharu seharusnya melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan.
e. Pada era globalisasi ini harus menitikberatkan tahap ilmu pengetahuan masing-masing.
iii. Tidak Menepati Binaan Ayat Aktif Transitif dan Ayat Aktif TakTransitif
a. Pemimpin itu telah memperkatakan tentang isu kegawatan ekonomi dunia kini.
b. Hukuman terhadapnya dijatuhkan berdasarkan kepada bukti pihak polis.
c. Pendatang asing mulai memasuki ke negara ini sejak zaman penjajah lagi.
d. Program itu adalah untuk meningkatkan lagi prestasi ahli sukan negara.
e. Pihak berkuasa akan menyalahi kepada sesiapa sahaja yang melanggar undang-undang.
f. Pasukan tentera itu digeruni musuh kerana mereka bersenjatakan dengan senjata moden.
iv. Maksud Ayat Kabur
a. Tanpa telefon bimbit, jika kita ditimpa kemalangan pastinya pada waktu itu kita perlu mencari pondok telefon atau terpaksa pergi ke hospital untuk menyelamatkan nyawa mangsa kemalangan tersebut.
b. Pengguna boleh mendapatkan maklumat daripada Persatuan Pengguna yang banyak membantu pengguna yang menghadapi masalah, terutama aduan dan pendapat.
c. Penggunaan telefon bimbit juga pastinya akan menyusahkan jika seseorang itu tidak menggunakan alat tersebut.
6.3.2 KESALAHAN LAIN
i. Bentuk Lewah
kos perbelanjaan khalayak ramai
destinasi yang dituju saling bantu-membantu
saling kasih-mengasihi ramai murid-murid
semua pegawai-pegawai setiap peserta-peserta
ii. Tidak Mematuhi Hukun D – M
lain-lain faktor plastik beg
mini marathon Mah Kedai Jahit polis inspektor Razak Kedai Gunting
iii. Penggunaan Kata Sendi Nama
selain daripada itu demi untuk sejak dari di era pembangunan
iv. Kesalahan Penanda Wacana
Hal ini kerana Hal ini demikian
Ini untuk Justeru itu
6.4 MENILAI PENGUASAAN AYAT AKTIF DAN AYAT PASIF
Kelemahan dalam aspek bahasa menyebabkan pelajar tidak memperoleh markah yang tinggi dalam karangan. Antara kelemahan yang dimaksudkan, termasuklah kegagalan menguasai ayat aktif dan ayat pasif. Baca ringkasan ayat aktif yang berikut dengan teliti. Sila rujuk buku atau nota tentang ayat pasif sekiranya pelajar memerlukan penjelasan yang lebih lanjut.
TRANSITIF
• boleh dipasifkan
• ada objek sebagai penyambut
Contoh ayat – boleh dipasifkan.
1. Abang membersihkan ruang tamu.
2. Kakak menghidangi tetamu nasi.
3. Raja menganugerahinya pingat.
AYAT AKTIF
TAK TRANSITIF
• tidak boleh dipasifkan
• tiada objek sebagai penyambut
• ada keterangan TAK BERPELENGKAP
• Keterangan boleh digugurkan
• Cth: Adik merangkak di atas lantai.
BERPELENGKAP
• Keterangan tak boleh digugurkan
• Cth: Penyakitnya beransur pulih.
Catatan:
Ayat
Aktif Transitif
Ayat Aktif Tak Transitif
Tak Berpelengkap
Ayat Aktif Tak Transitif Berpelengkap
Dia memenangi peraduan itu.
(memenangi = kk aktif transitif)
(peraduan itu = objek)
Selepas kk aktif transitif mesti objek. Ayat tersebut salah sekiranya dimasukkan kata sendi nama.
Dia memenangi dalam peraduan itu. ( X)
Adik menangis di dalam bilik.
(menangis = kk tak tr tak b)
(di dalam bilik = keterangan)
Keterangan dalam ayat di atas boleh digugurkan. Ertinya, ayat tersebut masih betul tanpa keterangan.
Adik menangis. ( / )
Mereka tinggal di pedalaman.
(tinggal = kk tak tr b)
(di pedalaman = keterangan)
Keterangan dalam ayat di atas tidak boleh digugurkan. Ayat tersebut tidak gramatis tanpa keterangan.
Mereka tinggal. ( X )
LATIHAN 1
Tandakan ( / ) bagi ayat yang betul dan ( X ) bagi yang salah. Bagi yang salah, dapatkah anda menyatakan sebab kesalahan dan membetulkan kesalahan tersebut?
BIL
AYAT
( / )atau (X)
1
2
3
4
5
6
7
8
9
10
Mereka memasuki negara ini pada akad ke-16.
Mereka masuk ke negara ini pada abad ke-16.
Mereka memasuki ke negara ini pada abad ke-16.
Peserta itu mengatasi terhadap lawannya dengan mudah.
Tindakan itu diambil berdasarkan pada maklumat polis.
Razali menasihati kepada anaknya supaya belajar.
Penceramah itu menjelaskan tentang masalah pekerjaan.
Mereka telah menganggotai dalam pertubuhan itu.
Mereka telah menjadi anggota dalam pertubuhan itu.
Mereka telah menjadi anggota kepada pertubuhan itu.
IMBUHAN KATA KERJA PASIF
(di-, ter-...oleh, ber-..., ke-...-an)
1. Bungkusan itu diposkan petang tadi.
2. Pokok itu terlanggar oleh lori panjang.
Penjenayah itu tertembak di kepalanya.
3. Pakaian di atas meja itu belum bergosok.
4. Anak burung itu kesejukan di atas pokok.
AYAT
PASIF
KATA GANTI NAMA DIRI (KGD)
KGD1: saya, aku, ku-, kami, kita
KGD2: kamu, engkau, awak, kau-
KGD3: dia, beliau, mereka, -nya
1. Bilik itu KGD 1 sewa.
2. Bilik itu KGD 2 sewa.
3. Bilik itu disewa oleh KGD 3.
KATA BANTU “kena”
1. Pencuri itu kena tangkap oleh polis.
2. Haiwan ganas itu kena tembak.
Latihan yang berikut adalah untuk menguji penguasaan anda tentang ayat pasif. Sila baca soalan yang berikut dengan teliti dan tandakan ( / ) bagi binaan ayat pasif yang betul dan ( X ) bagi yang salah.
LATIHAN 1
BIL
AYAT
( / )atau (X)
1
2
3
4
5
6
7
8
9
10
Rahsia itu terbongkar oleh pihak polis.
Salimah tersenyum di ruang tamu rumahnya.
Harimau itu tertembak di bahagian belakangnya.
Pemain itu terjatuh ketika berlari di padang.
Sebahagian daripada bilik itu belum bercat.
Anak kambing datuk kesejukan di bawah pokok.
Mereka kegemparan apabila terdengar letupan.
Kena halau penagih dadah itu oleh penduduk kampung.
Mangsa kemalangan itu telah diselamatkan.
Dia tergamak untuk mengkhianati sahabat baiknya.
LATIHAN 2
BIL
AYAT
( / )atau (X)
1. Perkara itu kami akan bawa ke tengah.
2. Isu kegawatan ekonomi sudah pun mereka bincangkan.
3. Kerenah remaja, kita perlu tangani bersama-sama.
4. Masa depan mereka sukar untuk kami ramalkan.
5. Bangunan itu akan kusewakan kepada orang ramai.
6. Borang permohonan itu akan dihantar kemudian.
7. Akan kukotakan segala janjiku terhadap ibu bapaku
8. Mereka akan kami undang ke majlis perasmian itu nanti.
9. Sudah lama tawaran untuk ke luar negara mereka terima.
10. Tidak mungkin kertas kerja itu dapat beliau siapkan esok.
Pelajar yang menguasai ayat pasif tidak menghadapi masalah untuk menjawab semua soalan di atas. Bagi yang masih ragu-ragu, berbincanglah dengan rakan atau guru untuk mengatasi kelemahan anda. Pelajar yang menguasai ayat pasif, bukan sahaja dapat mengelakkan kesalahan membina ayat pasif dalam karangan, rumusan dan alih bentuk teks, tetapi dapat pula menjawab soalan analisis kesalahan bahasa dan soalan objektif (Kertas 1) dengan baik.
7 MENILAI KARANGAN
K1 Minat orang ramai terhadap seni permainan tradisional, kini, kurang menggalakkan. Perkara ini perlu diatasi untuk mengelakkan lenyapnya seni permainan tradisional di negara ini. Huraikan langkah-langkah yang perlu diambil untuk mempopularkan permainan tradisional dalam kalangan generasi muda di negara ini.
Pada zaman moden ini, pelbagai permainan terbaru wujud. Permainan zaman ini direka dari barangan elektronik yang ringan dan mudah dibawa, contohnya permainan “game boy” dan sebagainya. //Hal ini demikian masyarakat kini leka dengan arus pemodenan dan permainan tradisional pula dilupakan. Hal ini berlanjutan sehinggakan //remaja tidak mengetahui apa itu permainan tradisional. Permainan tradisional adalah permainan yang dimainkan oleh orang-orang terdahulu. //Selain itu untuk mengeratkan hubungan antara penduduk masyarakat terdahulu. P = 2
//Antara langkah-langkah untuk mempopularkan permainan tradisional, termasuklah memperkenalkan permainan tradisional kepada anak-anak mereka. //Hal ini kerana untuk memastikan generasi muda akan datang tahu apa itu permainan tradisional. Ibu bapa boleh menunjuk ajar cara bermain permainan tersebut. Contohnya, cara bermain wau ataupun gasing dan banyak lagi. Ibu bapa juga boleh menunjukkan gambar-gambar permainan tradisional. Selain itu, ibu bapa juga boleh membeli alat permainan tradisional di kedai. Bagi ibu bapa yang kurang mampu, mereka boleh menunjukkan cara membuatnya. Dengan ini, hasrat kerjaan untuk memartabatkan permainan tradisional akan tercapai. IS = 3
Selain itu juga //ibu bapa juga boleh membawa anak-anak mereka ke tempat pertandingan permainan tradisional, contohnya sepak takraw dan sebagainya. //Ini juga dapat melahirkan minat apabila dia melihat permainan berkenaan contohnya permainan congkak. Bagi ibu bapa yang mempunyai bakat bermain permainan tradisional, //mereka boleh menyertai pertandingan tersebut, contohnya sempena hari keluarga dan sebagainya. //Ini kerana anak mereka timbul keinginannya untuk bermain. IS = 2
Seterusnya, pihak sekolah hendaklah menjadikan permainan tradisional salah satu kegiatan sukan di sekolah. //Contohnya, mewujudkan kelab atau persatuan. //Dalam kelab tersebut, hendaklah melantik seseorang yang mahir dalam permainan tradisional ini. Ia memastikan pelajar dapat mempelajari permainan tradisional ini dengan lebih mendalam. Pihak sekolah juga boleh mengadakan pertandingan peringkat sekolah. Bagi sekolah yang berjaya, sekolah berkenaan terus mewakili daerah untuk ke peringkat seterusnya. //Ini dapat menghidupkan kembali permainan tradisional untuk generasi yang akan datang. IS = 2
Pihak kerajaan hendaklah menyediakan pusat kemahiran untuk melatih golongan muda. Ini adalah untuk menarik minat golongan muda. Selain dapat mengajar cara-cara bermain permainan tradisional, ia juga dapat memberikan peluang pekerjaan kepada tenaga yang mengajar. //Bak kata pepatah, sambil menyelam minum air. Dengan melaksanakan langkah ini sudah tentu hasrat untuk mempopularkan permainan tradisional dalam kalangan generasi muda di negara ini akan tercapai. IS = 2
//Seterusnya mengadakan kempen juga salah satu langkah untuk mempopularkan permainan tradisional. Dengan teknologi moden sekarang, //kerajaan boleh menyebarkan dengan menggunakan media massa. Contohnya, media elektronik, media cetak dan sebagainya. //Ini untuk memberitahu kempen yang ingin diadakan. Selain itu, pihak yang menganjurkan kempen ini juga boleh memanggil tokok-tokoh terkemuka, contohnya ahli sasterawan negara, A. Samad Said. Di samping itu, wawancara turut diadakan bagi //memeriahkan lagi sambutan. Hal ini demikian kerana untuk //menambahkan lagi pengetahuan kepada masyarakat tentang permainan tradisional ini. //Selain itu juga, dapat menimbulkan minat dalam kalangan remaja. IS = 2
//Selain itu juga menganjurkan pertandingan permainan tradisional. Antara permainannya, termasuklah sepak raga, gasing, congkak, dan sebagainya. Semua permainan tradisional ini //boleh dimainkan oleh semua peringkat umur. Selain itu, //kita juga boleh mengadakan perlawanan peringkat, iaitu bermula dengan peringkat kampung sehingga peringkat antarabangsa. Ini juga dapat menarik minat pelancong untuk mengunjungi Malaysia. Artis terkemuka juga boleh dijemput bagi //memeriahkan lagi pertandingan. Atris juga hendaklah terlibat dalam pertandingan ini. //Hal ini demikian dapat menarik minat untuk melihat artis kegemaran mereka akan menyertainya. //Justeru itu, ini dapat menyerapkan minat kepada masyarakat tentang permainan tradisional ini. IS = 2
Kesimpulannya, semua pihak hendaklah saling bekerjasama bagi mempopularkan permainan tradisional dalam kalangan generasi muda di negara ini agar permainan tradisional dapat dikekalkan dan tidak ditelan arus pemodenan. Pihak kerajaan perlu mendapat sokongan. K = 1
MARKAH P = 02
I = 13
K = 0
(P+I+K) R = 16
P = 08
B = 03 (// = 25)
JUMLAH
Labels:
Esei
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment