Wednesday, November 18, 2009

RAGAM MURIDKU

tempatku menjadi guru
tempat aku menimba ilmu
muridnya....
bilangannya beribu
ada yang macam orang
ada yang macam hantu.

bila ditanya
mengangguk macam setuju
rupa-rupanya terlentuk
terus beradu
air liurnya meleleh sampai ke dagu
bila dikejut
termengau-mengau macam ayam tua diserang tungau.

memang aneh dan pelik
hobi anak muridku
bau tandas idaman kalbu
katanya...
"sumber inspirasi cikgu
menjadi azimat menuntut ilmu
supaya melekat di dalam hatiku"

bila ditanya kenapa datang lambat
katanya...
"hantar datuk pergi berburu
mencari cacing dibuat bumbu"

bila ditanya kenapa tak buat kerja sekolah
katanya...
"sibuk selalu asyik merambu
mencari kera buat berguru"

bila ditanya kenapa markah semuanya merah
katanya...
"tuisyen sampai pagi di taman UPC
mencari maklumat
artis pornografi"

bila ditanya kenapa ponteng
katanya...
"loya-loya dan pening-pening
akibat tertelan buah keruing"

bila ditanya kenapa balik cepat
katanya...
"perut sakit memulas-mulas
kerana tertelan ulat beluncas"

bila ditanya kenapa bising
katanya...
"ada kera di atas bangku
duduk bertinggung membaca buku"

bila ditanya kenapa meniru
katanya...
"kalau tak meniru
macam mana nak maju"

Tapi...anehnya
ada yang tak begitu...
STPMnya 5 prinsipal jitu
PMR, SPMnya 8, 9, 10 A1

Itulah hebatnya anak-anak muridku


(Disesuaikan daripada nukilan KD)

Monday, November 16, 2009

SALAH TU SAYANG...

1.Soalan a/b Sajak - Aku terpegun melihat bulan menangis

JWP salah : Penyajak mengatakan bahawa dia terpegun melihat bulan menangis.
JWP salah : Aku melihat bulan menangis dengan perasaan terpegun.
JWP salah : Penyajak terpegun melihat bulan menangis.( masih kreatif )
JWP salah : Penyajak terpegun melihat bulan sedang bersedih. ( masih kreatif)

JWP betul : Penyajak terpegun apabila melihat bulan seolah-olah sedang menangis.

2. Soalan a/b cerpen - " Awak memang tak tahu malu", Johanis terus membuat tuduhan.


JWP salah : Johanis mengatakan awak memang tidak tahu malu.
JWP salah : Johanis memberitahu bahawa awak memang tidak tahu malu.
JWP salah : Johanis menuduh bahawa Syabawi memang tidak tahu malu.

JWP betul : Johanis mengatakan bahawa Syabawi memang tidak tahu malu.
Johanis menuduh Syabawi memang tidak tahu malu.
Menurut Johanis, Syabawi memang tidak tahu malu.

3. Soalan a/b cerpen - "Ya, memang..." kata Syabawi.

JWP salah : Syabawi mengatakan ya.
Syabawi mememangkannya.
Syabawi mengiakannya.
Syabawi mengiyakannya.
Syabawi tidak menafikannya. (ulasan)

JWP betul : Syabawi mengeyakannya.

Wednesday, November 4, 2009

Punca Kemalangan Maut dan Langkah untuk Mengatasinya

Punca

1. Sikap pengguna jalan raya baik pemandu kereta, penunggang motosikal mahupun pejalan kaki.
- pengguna jalan raya di Malaysia sering menunjukkan sikap tidak takut terlibat dengan
kemalangan maut --- seolah-olah yakin mereka tidak akan terlibat dalam kemalangan.
- mereka langgar banyak peraturan jalan raya yang serius dan berpotensi menyebabkan
kemalangan maut.
-Misalnya memandu kenderaan dengan laju, mabuk semasa memandu, melanggar isyarat
lampu trafik, memotong kenderaan di garisan berkembar,tidak mempunyai lesen
memandu, dan memandu secara melulu.
- segelintir pemandu/pengguna jalan raya mempunyai keperibadian yang buruk, seperti
panas baran, tidak bertimbang rasa, berlagak dan ego.

2. Kenderaan yang digunakan tidak berada dalam kondisi yang baik kerana tidak diselenggara.
- banyak peralatan tidak berfungsi, seperti tayar botak, brek haus
- tidak dihantar pemeriksaan yang telah dijadualkan ke PUSPAKOM
- tidak hantar servis ke bengkel-bengkel bertauliah atau tidak servis langsung

3. Keadaan jalan raya tidak selamat daripada pelbagai aspek.
- struktur jalan yang berbelok-belok menyebabkan kenderaan terbabas/sukar dikawal
- struktur cerun jalan yang curam, meninggikan risiko kerosakan brek
- jalan yang lebar dan lurus pula meningkatkan kecenderungan pemandu memandu
dengan laju
- banyak kemalangan maut berlaku di kawasan jalan mutu pembinaannya rendah, cth,
Lebuhraya Timur Barat, dikatakan kurang berkualiti kerana terdapat banyak kawasan
jalan yang beralun ---banyak kemalangan maut direkodkan di kawasan itu.

Cadangan/Langkah Mengatasi

4. Memerperkenalkan Undang-undang Baharu dan Menguatkuasakan Undang-Undang Jalan Raya sedia ada dengan lebih tegas.
- Akta Pengangkutan Jalan 1997, perlu dipinda supaya hukuman lebih berat dikenakan
kepada pesalah trafik yang melibatkan kematian - penjara maksimum 5 tahun tidak
sesuai lagi - harus penjara 10 tahun mandatori.
- ' Corporal Punishment' atau deraan seperti hukuman rotan mandatori mesti
diperkenalkan.
- Ketatkan syarat pemilikan lesen memandu dan tingkatkan syarat umur memiliki lesen
memandu kepada 21 thn kerana banyak kemalangan mautn melibatkan golongan
berumur belasan tahun.
- ops sikap yang didapati berkesan pada tahun 2008 menurunkan jumlah kemalangan
maut perlu diteruskan - jadikan ops sikap, aktiviti trafik sepanjang masa.

5. Memperkenalkan dasar baharu berkaitan pengangkutan jalan raya.
- Meningkatkan standard/ piawai spesifikasi ciri keselamatan kenderaan bagi semua
kenderaan baharu dan kenderaan berusia 5 tahun.
- Tahap piawai keselamatan Eropah mesti diaplikasi seperti mewajibkan beg udara, brek
dengan sistem ABS,EBD, BA dsb.
- Dasar melupuskan kenderaan berusia lebih 15 tahun seperti yang diamalkan
kebanyakan negara maju spt AS, Britain, Jepun, dan Perancis perlu dilaksanakan di
negara ini.
- Dasar mewajibkan kenderaan berusia 10 tahun menjalani pemeriksaan PUSPAKOM
perlulah disokong kerana itu merupakan mekanisma yang baik untuk mengubah sikap
pemilik kenderaan tentang aktiviti penyelenggaraan kenderaan.

6. Kempen
- meneruskan kempen keselamatan jalan raya sedia ada dengan pengisian baharu - iklan
keselamatan dan kemalangan maut yang lebih realistik dan berkesan perlu disiarkan.
- menyiarkan lebih banyak propaganda tentang sikap buruk pemandu dan mencipta slogan-
\slogan baharu tentang kepentingan berhemah di jalan raya.
- adakan karnival permotoran yang diisi dengan program mendidik pengguna tentang
keselamatan jalan raya,ceramah, pertandingan keselamatan jalan raya, pameran dll.
- gunakan saluran media untuk sampaikan propaganda dan slogan-slogan secara berterusan,
menarik dan jelas.
- kempen boleh mempengaruhi pengguna supaya sedar akan kesan buruk kemalangan
maut.





Aku memeluk cinta dengan hati terluka

darahnya meski sudah membeku jelas merah warna

Tuesday, November 3, 2009

kesan pertumbuhan pusat tiusyen(?) swasta

Kebaikan

1. Membantu pelajar meningkatkan pemahaman selepas waktu rasmi pengajaran dan pembelajaran di sekolah.
- PTS menjadi tempat pelajar mengulang kaji, meningkatkan pemahaman tentang sesuatu
topik yang dipelajari di sekolah - bolehlah dianggap sebagai kelas tambahan.
- ada PTS yang menyediakan guru pakar atau guru cemerlang dalam sesuatu mata
pelajaran. Mereka memang terbukti mempunyai teknik dan kaedah P&P yang mudah
diikuti dan difahami pelajar.
- Ada ibu bapa menjadikan PTS sebagai tempat untuk anak-anak belajar kerana tiada
tempat yang kondusif di rumah.

2. Menyumbangkan pendapatan kepada negara.
- pertumbuhan PTS yang banyak akan membolehkan pendapatan daripada sukai-cukai
langsung dan tidak langsung daripada PTS akan bertambah.
- PTS akan membayar cukai perniagaan, cukai pendapatan, bayaran lesen, dan sebagainya
kepada kerajaan.
- Pada tahun 2008, jumlah cukai langsung dan tidak langsung berjumlah RM456 juta.
Statistik ini dikeluarkan Kementerian Kewangan.

Keburukan

3. Menghalang aktiviti kokurikulum di sekolah.
- PTS jalankan kelas selepas sesi P&P di sekolah dan pada hujung minggu - waktu itu
sebenarnya telah tetapkan sebagai waktu untuk pelajar menjalani aktiviti kokurikulum.
- Pelajar sanggup ponteng kokurikulum untuk ke PTS sebab bagi mereka akademik lebih
penting.
- KPM akan gagal mencapai matlamat aktiviti korikulum seperti pembentukan nilai
murni, kemahiran berorganisasi, mencungkil kepemimpinan, dll, jika ramai pelajar ke
PTS.

4. Meningkatkan kos atau beban mendapatkan pendidikan yang cemerlang dalam kalangan ibu bapa.
- kos untuk membayar yuran PTS, pengangkutan, makan minum, dan sebagainya tinggi
bagi golongan berpendapatan rendah.
- Jika belajar di PTS menjadi gaya hidup masyarakat kini, sudah tentu ibu bapa terpaksa
mengurangkan peruntukan keluarga dalam perkara lain, misalnya mengurangkan
tabungan.

5. Pertumbuhan PTS yang terlalu pesat, meninggalkan impak buruk kepada imej pendidikan negara.
- keghairahan PTS mencari keuntungan menyebabkan PTS mengabaikan kualiti.
- gagal mencapai piawai pendidikan yang ditetapkan KPM disebabkan oleh :
- menggaji guru tidak berkualiti/tangkap muat, cth lepasan universiti yang
menganggur.
- guru sekolah kerajaan yang mengajar di PTS lebih menekankan tugas di PTS
berbanding dengan tugas di sekolah - masyarakat memandang serong. Nila setitik
rosak susu sebelanga.
- ada PTS sanggup menipu pelajardengan memberi soalan-soalan yang kononnya
bocor/ keluar dalam peperiksaan - menjejaskan imej Lembaga Peperiksaan Malaysia
dan Majlis Peperiksaan Malaysia.

Monday, November 2, 2009

Tips Alih bentuk bahasa dialog

1. Dialog penyataan:
Contoh : Khir Khan : Ehemm... cantik baju awak Ummi. Tentu mahal.
JWP1 Khir Khan berdehem. Dia mengatakan bahawa baju Ummi cantik.
Khir Khan juga mengatakan bahawa baju itu tentu mahal harganya.
JWP2 Khir Khan berdehem sambil mengatakan bahawa baju Ummi cantik.
Khir Khan mengatakan bahawa harga baju itu tentunya mahal.

Formula jawapan:

Subjek ( penutur ) + kata kerja ( yang menunjukkan penutur bercakap )* + kata
hubung komplemen ( bahawa)** + isi***

* kata kerja seperti mengandaikan, memikirkan dan seumpamanya tidak betul digunakan

** kata hubung komplemen itu boleh/mesti digugurkan dalam situasi tertentu

cth : Dia menuduh Abu makan buah durian itu. ( / )
Dia menuduh bahawa Abu makan buah durian itu. (X )

*** Selepas kata hubung komplemen 'bahawa', pastikan anda tulis kata nama.
Cth : Lermbu mengatakan bahawa Kerrbou memang layak menerima balasan itu.(/)
Lermbu mengatakan bahawa memang layak Kerrbou menerima balasan itu.(X)

2. Dialog Pertanyaan yang menghasilkan jawapan ya/tidak.
Contoh : Khir Khan : Benarkah berita tersebut Ummi?
JWP1 : Khir Khan ingin tahu sama ada berita tersebut benar atau tidak.
JWP2 : Khir Khan menanyakan Ummi sama ada berita itu benar atau tidak.

Formula : Subjek + ingin tahu + sama ada + isi + atau
Subjek + menanyakan + nama + isi + atau

bersambung...

Friday, October 30, 2009

Kepentingan mengindahkan Alam Sekitar dan Langkah Menjayakannya

Kepentingan / Faedah mengindahkan/ mencantikkan persekitaran.



1. Membantu negara mengembangkan dan memajukan industri pelancongan.

- keindahan alam sekitar boleh menarik perhatian pelancong dari dalam dan luar negara-

berupaya menjadi destinasi baru pelancongan

- jumlah pelancong yang datang akan meningkat - meningkatkan juga pendapatan pengusaha

industri ini dan kerajaan.

- ada banyak tempat di dunia yang menjadikan keindahan alam sekitar sebagai produk

pelancongan seperti Paris di Perancis, Venice di Itali, London di England, Seoul di Korea dll



2. Mengurangkan masalah pencemaran alam

- keindahan alam hanya berhasil apabila alam sekitar bebas daripada segala unsur

pencemaran

- pengindahan alam sekitar pasti akan melibatkan aktiviti pemeliharaan dan pemuliharaan

alam semula jadi - tahap kebersihan sentiasa menjadi keutamaan - hal ini mengurangkan

pencemaran sampah sarap, pencemaran bau, pencemaran air dan juga pencemaran udara.

alam sekitar akan menjadi bersih, udara menjadi nyaman, sungai menjadi jernih dan

sebagainya - kesihatan rakyat meningkat.



3. Mewujudkan keselesaan hidup, ketenangan jiwa, dan keceriaan kepada masyarakat.

- keindahan alam melahirkan suasana damai, mengelakkan kecelaruan fikiran - boleh dijadikan

tempat beriadah untuk mengurangkan tekanan/stres

- boleh dijadikan juga sebagai tempat merapatkan hubungan kekeluargaan, dan merapatkan

hubungan sesama ahli masyarakat setempat



LANGKAH UNTUK MENJAYAKANNYA



4. Meneruskan kempen sedia ada dan mengadakan kempen baharu.

- popularkan aktiviti mengindahkan alam sekitar dengan cara mempromosi aktiviti seni taman

(lanskap)

- gunakan pelbagai media dan pelbagai propaganda supaya rakyat terpengaruh untuk

mengindahkan sekurang-kurang persekitaran rumah sendiri.

- adakan karnival jualan bahan-bahan/ peralatan seni taman seperti pokok bunga, pokok

teduhan, kerusi meja laman, pagola dll di merata tempat.

- adakan lebih banyakpertandingan seni taman bagi semua peringkat baik rumah persendirian,

kampung, pekan,daerah,negeri dsb.



5. Penguatkuasaan undang-undang alam sekitar yang lebih tegas

- Akta Alam Sekitar mesti dikuatkuasakan sepenuhnya untuk menjamin alam semula jadi kekal

di negara kita

- undang-undang kebersihan alam sekitar yang ada pada tangan pihak berkuasa tempatan

seperti Dewan Bandaraya, Majlis Perbandaran dan Majlis-Majlis Daerah hendaklah digunakan

sepenuhnya.

- kes pencabulan undang-undang kebersihan alam dan pencemaran oleh orang ramai mesti

diberi keutamaan - kenakan denda maksimum

Thursday, October 15, 2009

Panduan umum untuk menjawab soalan Alih Teks adalah seperti yang berikut:
1. Baca teks asal itu sepintas lalu dan fahami maksudnya. Cuba fahami maksudnya dengan membaca teks tersebut dengan teliti agar anda mendapat gambaran awal untuk mengalih bahasa teks seperti syair kepada bentuk prosa bahasa Melayu Moden.
2. Alih teks tersebut kepada bentuk prosa biasa (ayat penyata) iaitu dengan menggunakan bahasa Melayu yang betul (baku) dalam bentuk prosa bahasa Melayu moden. Jangan terpengaruh oleh struktur bahasa Melayu klasik dan elakkan penggunaan struktur ayat pasif.
3. Tulis semua isi atau fakta yang terdapat dalam teks asal tersebut. Jika ada isi atau fakta yang tertinggal atau terpesong, sudah pasti anda akan memperoleh markah yang kurang. Pastikan isi atau fakta tersebut menepati isi teks yang asal.
4. Kekalkan penggunaan nama khas dan juga perkataan yang tidak perlu diubah seperti perkataan daripada bahasa istana.
5. Jangan buat ulasan atau memberikan pendapat semasa mengalih teks asal tersebut. Ingatlah bahawa bahawa anda cuma memindahkan bahasa teks tersebut sahaja, bukannya memberikan pendapat atau ulasan. Elakkan ayat yang berbentuk ulasan seperti ini, Petikan tersebut menerangkan...., kerana ayat tersebut dianggap sebagai ulasan.
6. Jangan salin keseluruhan teks asal kerana perkara itu tidak menunjukkan anda telah mengalih teks asal tersebut. Sekiranya anda melakukan perkara itu sudah pasti anda akan memperoleh markah yang minimum.
7. Tulislah ayat-ayat yang telah anda alihkan bahasanya itu dalam beberapa perenggan, mengikut kesesuaian kandungannya (biasanya tidak melebihi 3 perenggan).
8. Elakkan kesalahan bahasa yang lazimnya dilakukan oleh calon-calon STPM. Sekiranya calon melakukan kesalahan bahasa yang banyak, sudah tentu markah persembahan akan terjejas.
9. Selain markah bahasa, calon-calon juga perlu menitikberatkan aspek jalinan ayat yang telah dibina itu agar persembahannya menjadi lebih kemas, jelas dan mudah difahami oleh pemeriksa.


Tips ALih Bahasa.

1. Tulis ayat aktif, gunakan imbuhan 'me'.
cth. adapun apabila didengar Shah Khirkhan akan khabar Kajola itu hendak berangkat....
Apabila Shah Khirkhan mendengar berita Kajola hendak berangkat....

2. Jangan tulis penanda wacana pada isi-isi asal yang tiada penanda wacana kerana ia akan menghasilkan ulasan.

3. Jangan buat kesimpulan bagi isi-isi yang ada kerana ia dianggap sebagai ulasan.
Contoh : Adapun Haji KhirKhan itu adalah ia seratus ribu ekor unta, seratus ribu kambing,
dan seratus ribu lembu.

Haji KhirKhan mempunyai banyak binatang ternakan. [X]

4. Gunakan kata gantinama diri ketiga sahaja.
Contoh: Ah Khir : Saya sudah makan?
Nadia : Ya, saya yang suapkan.
JWP1 : Ah Khir ingin tahu sama ada dia sudah makan atau belum.
JWP 2 : Ah Khir menanyakan Nadia sama ada dia sudah makan atau belum.
Nadia mengeyakannya. Menurut Nadia, dialah yang telah menyuapkan makanan untuk
Ah Khir.

Wednesday, October 14, 2009

Isu Yang Boleh diberi Perhatian

1. Penggunaan Bahasa yang Salah pada Papan Tanda dan Iklan Bercetak
2. Kemalangan Maut : Punca dan Langkah
3. Demam Denggi/Chikungunya
4. Program Latihan Khidmat Negara (PLKN)
5. Gengsterisme dalam kalangan pelajar sekolah
6. Kebanjiran Bahan-bahan Berunsur Lucah, Tahyul dan Ganas
7. Kebanjiran Pendatang Tanpa Izin
8. Usaha untuk Memajukan Industri Pertanian di Malaysia
9.Bangunan atau Tempat Bersejarah: Pemeliharaan dan Pemuliharaan. Mengapa dan Bagaimana
10.Masalah Bencana Alam
11.Meningkatkan Kecemerlangan Pendidikan di Negara Kita
12.Internet dan Dasar Langit Terbuka
13.Jenayah Ragut dan Langkah untuk Menanganinya
14.Penggunaan Kad Kredit : Kesan
15.Masalah Perumahan : Penghapusan Levi dan kesannya.
16.Jelaskan langkah-langkah menggalakkan anak muda mempelajari ilmu mempertahankan diri.
17. Kepentingan mengindahkan alam sekitar dan langkah untuk menjayakannya.
18. Kesan pertumbuhan pusat tusyen swasta.
19. Kepentinganindustri pelancongan kepada negara dan langkah untuk menarik pelancong asing.

* beri perhatian lebih sedikit pada tajuk yang bold

Rumusan Stpm

Tips.

Asas Merumus

1. Baca sekali untuk mengenal pasti topik dan idea / buah fikiran pengarang/ pendapat pengarang tentang topik.
2. Tentukan fokus pengarang, contoh, punca, kesan, langkah berkaitan topik.
3. Rumusan ialah gabungan kemahiran memaham petikan, menulis wacana/karangan, dan meringkaskan karangan. Oleh sebab itu, topik yang diketengahkan WAJIB difahami, jika tidak difahami, calon akan mengambil maklumat yang salah daripada petikan. Yang perlu diambil ialah BUAH FIKIRAN pengarang.
4. Semua ayat asasnya ada idea kecuali ayat yang:
a. Jelas menyenaraikan contoh sebagai penerangan dan tidak dikupas.
Oleh hal yang demikian, ayat yang ada perkataan ' contoh', tidak
semestinya tiada idea.
b. Jelas merupakan ayat yang mengulang idea sebelumnya.
5. Tanamkan dalam fikiran bahawa idea/buah fikiran pengarang tidak mungkin terhasil daripada satu ayat. Idea terhasil daripada beberapa ayat.
6. Dalam satu perenggan mungkin ada 1 atau 2 idea atau lebih. Pastikan anda kesan idea-idea dan huraian dalam ayat-ayat yang dibaca.
7. Ambil sekurang-kurangnya SATU PERKATAAN PENTING yang menggambarkan idea pengarang dari setiap ayat yang dibaca. Ini mengelakkan anda tertinggal isi.
8. Anda akan dapati, petikan hanya menyenaraikan 5/6 isi daripada sejumlah perkataan yang banyak itu!
9. Idea utama ada dalam perenggan 1. Jangan mengada-ngada nak cari tempat lain.
10. Kesimpulan ada dalam perenggan akhir.
11. Satu idea paling kurang ada 2 intipati baik dalam idea utama, isi sokongan, mahupun kesimpulan.

bersambung, dah penat......

Tuesday, October 13, 2009

ANALISIS KESALAHAN BAHASA
Soalan Analisis Kesalahan Bahasa dikemukakan dalan Kertas 2 Bahagian D. Soalan ini menghendaki calon mengenal pasti kesalahan bahasa dalam petikan yang diberi, menjelaskan sebab kesalahan itu, dan membetulkannya.

Perkara-perkara penting tentang Analisis Kesalahan Bahasa:

• 15 Markah• Kenal pasti 5-7 kesalahan bahasa dalam petikan• Kemukakan sebab kesalahan• Tulis pembetulan bagi kesalahan tersebut.

Jenis-jenis Kesalahan Bahasa Yang Sering Dikemukakan:

1.Kesalahan ejaan:- kata Melayu asli- kata pinjaman(Bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa serumpun)
2. Kesalahan morfologi- Kata sendi nama - Kata bilangan- Kata pemeri- Kata kerja- Hukum D-M- Frasa yang lewah
3. Kesalahan sintaksis:- Ayat tergantung (ayat tanpa subjek/ ayat tanpa predikat)- Ayat pasif ganti nama diri- Struktur ayat tidak tepat- Ayat yang kabur/ menyimpang makna

Contoh kesalahan:

A- Di antaranya lebuh raya
- menelan berbilion- berbillion
- Prasarana itu juga memanfaatkan pengguna-
antara satu tempat(STPM 2001)-
B. adalah universiti
- terletak antara bandar raya pintar dengan ….
- di kedua buah kampus
- pelajar universiti lain tidak dapat dinikmati-
Dengan adanya tenaga pengajar …. dan sokongan padu daripada kakitangan pentadbiran.(STPM 2002)
C. -seperti didakwa
- mereka timbulkan
- sebahagian besar anak-anak muda
- mengharapkan kepada- setiap orang belia(STPM 2003)
D. Setiap orang pekerja
- Bagi kakitangan yang belum menerimanya diminta menghubungi
- menyatakan yang- memperindahkan
- pamiran(STPM 2004)-
D. -menjadikan
- adalah asas penting
- di abad ke-21
- negara kita miliki
- optimistik pada perubahan
- merintis kepada perubahan(STPM 2005)-
E.-berusaha melahirkan
- menghormati kepada ibu bapa
- anti-sosial
Manakala
- punca tidak kurang pentingnya
- kedua faktor tersebut(STPM 2006)
F.-








Alih bahasa Prosa moden
Tips:
1. Ayat cakap ajuk tukar kepada ayat cakap pindah.
2. Ayat itu seharusnya ayat aktif [ gunakan sedapat yang boleh kata kerja berimbuhan ' me' yang menunjukkan perbuatan itu terhasil daripada percakapan/pertuturan].
Contoh : menyatakan, mendakwa, memberitahu, mengatakan, menuduh, meminta, menyuruh, melarang, menerangkan,menjelaskan, etc.
3. Semua ayat mestilah dalam bentuk ayat penyata, BUKAN Ayat Tanya.
4. Ayat yang terhasil dalam alih bentuk bahasa seharusnya ayat komplemen, BUKAN Ayat Relatif.
Contoh : KhirKhan mengatakan yang dia sudah makan. [x]
Khir khan mengatakan bahawa dia sudah makan. [/]
5. JANGAN gunakan kata ganti nama diri pertama dan kedua. Gunakan kata ganti nama diri ketiga sahaja.
Contoh : " Kita mesti pulang sekarang," Khirkhan bersuara.
Khirkhan mengatakan bahawa MEREKA mesti pulang.
6. Jangan gunakan sendi nama kepada selepas kata kerja tertentu, terutama 'memberitahu, menjelaskan, menerangkan'
Contoh : Khirkhan memberitahu kepada Dr Talib bahawa.....[x]

7. Konsep masa mesti dipatuhi dalam ayat cakap pindah.
Contoh :
ini - hari itu
sekarang - pada masa itu , pada waktu itu
tadi - sebelum itu
nanti - pada masa yang lain
esok - hari berikutnya/keesokan harinya
semalam - hari sebelumnya
kelmarin - dua hari berikutnya
lusa - dua hari berikutnya
bulan depan - bulan berikutnya
8. Jangan tulis ayat yang ada kata tanya.
Contoh: KhirKhan ingin tahu bagaimana hendak membuat kuih koci.[x]
Khirkhan menanyakan Linda adakah Linda sudah makan. [x]

Tips menulis ayat cakap pindah

1. Ayat Cakap Ajuk penyataan.
Formula : Subjek + Kata Kerja (imbuhan 'me') + kata hubung
komplemen 'bahawa'+ isi
Contoh : "Saya suka kamu Yati", kata Khir.
Khir + mengatakan + bahawa + dia suka Yati
* Kata hubung komplemen bahawa BUKAN sesuatu yang wajib ada, bagi sesetengah kata kerja, kata hubung itu tidak perlu digunakan.
Contoh : " Awaklah orang yang mengambil selipar saya" kata Upin kepada Rajoo.
Upin mendakwa Rajoo mengambil seliparnya.
* Bagi kata kerja 'menanyakan', 'memberitahu' , letakkan kata nama selepasnya.
Contoh : menanyakan Rajoo, memberitahu Rajoo bahawa

Ayat Cakap Ajuk Pertanyaan.

1. Buang semua kata tanya.
2. Ayat tanya yang menghasilkan jawapan pilihan 'ya' atau 'tidak' / 'sudah' atau 'belum' gunakan formula berikut.

Subjek + ingin tahu/menanyakan + sama ada + isi ...... atau

Contoh : " Awak sudah makan" tanya Khirkhan kepada Asha.

Khirkhan ingin tahu sama ada Asha sudah makan atau belum.
Khirkhan menanyakan Asha sama ada Asha sudah makan atau belum.

3. Ayat tanya yang ada kata tanya 5W1H, gunakan formula berikut.

Subjek + ingin tahu / menanyakan + ( tukar kata tanya dalam isi).

Contoh : " Mengapa awak makan, Asha? tanya Khirkhan.

Khir khan ingin tahu sebab Asha makan.
Khirkhan menanyakan Asha sebab Asha makan.

4. Setiap ayat cakap ajuk mesti ditukar kepada ayat cakap pindah. Ada calon terlupa hal ini kerana dialog seorang penutur telalu banyak. JANGAN sesekali menulis isi sahaja.

5. Tukar kata tanya ;

bagaimana - cara, kaedah, teknik

kenapa/mengapa - sebab, faktor, punca

siapa - orang/ sesiapa/ lihat teks asal, cth.. siapa ambil buku saya? tanya Cikgu Za kepada pelajar-pelajarnya... 'siapa' dalam soalan itu, tukar kepada 'pelajar'. cth jawapan.. Cikgu Za ingin tahu nama pelajar yang mengambil bukunya.

berapa - bilangan, kuantiti, jumlah

apa - perkara, hal, benda, apa-apa, jenis dll

mana - tempat, lokasi, destinasi, arah tujuan, mana-mana

Contoh:

Teks asal:

"Ke mana kaupergi, telah tiga hari tak pulang-pulang Yem?""Mencari kerja, mak. Dan sekarang saya pulang dengan membawa berita gembira," jawabnya sambil membuka bajunya yang basah"Sudahkah dapat kerja?""Sudah mak, suatu kerja yang sangat menyenangkan. Kita akan senang, akan hidup mewah. Lihatlah duit dan pakaian ini, Yem bawa untuk kita".

Jawapan Pelajar 1:
Mak bertanya kepada Yem ke manakah dia telah pergi selama tiga hari dan tidak pulang ke rumah. Yem memberitahu maknya bahawa dia pergi mencari kerja dan dia membawa pulang berita gembira sambil membuka bajunya yang basah. Emaknya bertanya kepada Yem bahawa dia sudah mendapat kerja atau belum. Yem memberitahu maknya bahawa dia sudah mendapat kerja dan kerjanya adalah sangat senang. Yem juga memberitahu ibunya bahawa mereka akan hidup senang dan mewah sambil menunjukan wang dan baju dan berkata bahawa Yem membawakannya untuk mereka berdua.


Ulasan jawapan pelajar 1:
1. Pelajar ini masih mengekalkan kata tanya "ke mana"
2. Hanya menggunakan panggilan 'mak' untuk emak Yem.
3. Kesalahan ejaan bagi perkataan "menunjukkan"
4. Menggunakan kata hubung yang tidak tepat iaitu "bahawa" (Yang tepat ialah "sama ada")
5. Sebahagian besar jawapan alih bentuk teks tidak tepat dan tidak menggambarkan ciri-ciri wacana yang baik.


ontoh jawapan Pelajar 2:
Emak ingin tahu Yam pergi ke mana setelah tiga hari tidak pulang. Yem menyatakan bahawa dia mencari kerja, dan sekarang dia pulang dengan membawa berita gembira kepada emaknya sambil Yem membuka bajunya yang basah. Emak ingin tahusama ada Yem sudah dapat kerja atau tidak. Yem memberitahu emaknya bahawa dia sudah dapat kerja dan kerja itu sangat menyenangkan. Tambah Yem lagi, kita akan senang dan akan hidup mewah. Yem meminta emaknya melihat duit dan pakaian yang dia bawa untuk dia dan emaknya.Ulasan terhadap jawapan Pelajar 2:
1. Pelajar ini masih mengekalkan kata tanya iaitu 'ke mana
2. Pelajar ini tidak menukarkan konsep masa iaitu 'sekarang' kepada "pada masa itu".
3. Penggunaan kata ganti nama yang tidak tepat iaitu "kita", sepatutnya "mereka"
4. Jawapan Pelajar 2 lebih baik daripada jawapan Pelajar 1.


Cadangan jawapan bagi soalan ini:

1. Emak Yem ingin tahu tempat Yem pergi setelah tidak pulang selama tiga hari.
2. Sambil membuka bajunya yang basah, Yem menyatakan bahawa dia pergi mencari pekerjaan..

3. Yem juga mengatakan bahawa dia pulang dengan membawa pulang berita gembira pada waktu itu.
4. Emak Yem ingin tahu sama ada Yem sudah mendapat pekerjaan atau tidak.
5. Yem menyatakan bahawa dia sudah mendapat pekerjaan, iaitu pekerjaan yang sangat menyenangkan mereka.
6. Menurutnya lagi, mereka akan senang dan akan hidup mewah.

7. Yem menyuruh emaknya melihat wang dan pakaian yang dibawa untuk mereka.

Monday, October 12, 2009

Tips


Ayat yang menyalahi hukum-hukum bahasa Melayu

AYAT TERGANTUNG.
Ayat tergantung ialah ayat yang tidak mempunyai subjek atau predikat. Ayat-ayat sebegini kerap ditulis oleh pelajar-pelajar terutama calon-calon STPM akibat kelemahan mereka dalam aspek tatabahasa.

1. Ayat tanpa subjek.
Contoh ayat:
Dalam buku itu menghuraikan cara-cara membuat kuih-kuih tradisional masyarakat Melayu. Sepatutnya:
Buku itu meghuraikan cara-cara membuat kuih tradisional masyarakat Melayu.

Di negara kita mempunyai banyak destinasi pelancongan yang menarik.
Sepatutnya: Negara kita mempunyai banyak destinasi pelancongan yang menarik.

2. Ayat tanpa predikat
Contoh ayat:
Tindakan pihak berkuasa dalam menangani isu rasuah dalam kalangan pegawai kerajaan. Sepatutnya: Tindakan pihak berkuasa dalam menangani isu rasuah dalam kalangan pegawai perlu disegerakan.

Golongan belia yang merupakan tunggak pembangunan negara.
Sepatutnya: Golongan belia yang merupakan tunggak pembangunan negara tidak boleh dibiarkan begitu sahaja oleh pihak kerajaan.

3. Kesalahan frasa kerja transitif - tidak diikuti oleh objek.

Contoh ayat:- Kehadiran pihak tuan akan menyerikan lagi majlis kami.
Sepatutnya: Kehadiran pihak tuan akan menyerikan majlis kami lagi.

Pemberita itu melaporkan dari Baikonur Cosmodrome, Khazastan.
Sepatutnya: Pemberita itu melaporkan berita dari Baikonur Cosmodrome, Khazastan.

4. Ayat yang bermula dengan kata hubung.
Contoh ayat:
Justeru itu, semua pelajar dilarang membawa telefon bimbit ke sekolah.
Manakala, semua peserta perlu melaporkan diri pada minggu depan.

5. Penggunaan kata tanya dalam ayat penyata.
Contoh ayat:
Pelajar itu tidak tahu mengapa dia gagal dalam ujian itu.
Mereka tidak pasti siapa yang terlibat kemalangan itu.

6. Kesalahan struktur ayat pasif.
Contoh ayat:
Perkara itu saya belum putuskan lagi. [x]
Perkara itu belum saya putuskan lagi.

Bas yang mereka naiki itu terlibat dalam kemalangan jalan raya. [x]
Bas yang dinaiki oleh mereka itu terlibat dalam kemalangan jalan raya.

7. Binaan idea ayat yang tidak berfokus.
Contoh ayat:
Langkah itu juga merupakan suatu penyelesaian bagi negara dan memupuk generasi muda ke arah Wawasan 2020.

*Maksud ayat tersebut sukar difahami kerana kata hubung gabungan 'dan' telah digunakan sewenang-wenangnya.

8. Komponen ayat yang tidak tepat.
Contoh ayat:
Kita perlu mengurangkan pengambilan makanan seperti minyak dan lemak yang berkolesterol tinggi.
Apabila bencana berlaku seperti banjir dan kemarau, banyak harta benda yang musnah.

9. Kesalahan ayat pancangan komplemen.
Contoh ayat:-
Kerajaan berusaha mengatasi masalah setinggan dalam kalangan penduduk bandar. (tiada kata hubung komplemen iaitu "untuk").
Kami yakin pasukan hoki sekolah akan memperoleh kemenangan dalam perlawanan esok. (tiada kata hubung komplemen "bahawa")

10. Kesalahan ayat pancangan relatif.
Contoh ayat:
Punca tidak kurang pentingnya dalam hal ini ialah pengaruh media massa. (Tiada kata hubung relatif "yang").
Beberapa orang disyaki menjadi anggota kumpulan ajaran sesat telah didakwa di mahkamah.




PANDUAN MENJAWAB SOALAN BAHAGIAN D (ANALISIS KESALAHAN BAHASA)
Salah satu soalan yang terdapat dalam soalan Bahasa Melayu Kertas 2 STPM ialah soalan Analisis Kesalahan Bahasa, iaitu terletak dalam Bahagian D. Dalam soalan ini, satu bahan rangsangan petikan akan dikemukakan dan di dalam petikan tersebut mengandungi beberapa kesalahan bahasa. Tujuan soalan ini dikemukakan adalah untuk menguji tahap penguasaan calon terhadap sistem bahasa Melayu terutama dari aspek morfologi dan sintaksis.

Calon dikehendaki menganalisis petikan tersebut dan mengenal pasti tiga perkara yang berikut; mengenal pasti kesalahan bahasa – 1m
menjelaskan sebab kesalahan – 1m
membuat pembetulan kesalahan – 1m
Peruntukan markah untuk bahagian ini ialah 15 markah dan calon hendaklah mengenal pasti sekurang-kurangnya 5 kesalahan bahasa dalam petikan.

Keupayaan calon untuk mendapatkan markah yang cemerlang bergantung pada penguasaan topik sistem bahasa Melayu (tatabahasa) dalam Kertas Satu iaitu tajuk Morfologi dan Sintaksis. Konsep kesalahan bahasa ialah penggunaan bahasa yang melanggar peraturan bahasa sama ada ejaan, perkataan, susunan frasa atau ayat. Jenis-jenis kesalahan bahasa boleh dibahagikan kepada beberapa jenis iaitu;

1. Kesalahan ejaan:
ejaan kata asli bahasa Melayu- ejaan kata pinjaman sama ada daripada bahasa Inggeris atau bahasa-bahasa serumpun- ejaan kata majmuk (termasuk pengejaan kata majmuk yang telah mantap penggunaannya - 15 perkataan)

2. Kesalahan morfologi.
Kata sendi nama - Kata bilangan - Kata pemeri- Frasa kerja (frasa kerja transitif atau frasa kerja tak transitif)- Hukum D-M- Frasa yang lewah

3. Kesalahan sintaksis:
Ayat tergantung (ayat tiada subjek/ predikat)- Ayat pasif (ganti nama diri pertama/ kedua atau ganti nama diri ke-3)- Struktur ayat tidak tepat- Ayat yang kabur/ menyimpang makna4. Kesalahan tanda baca:- tanda sempang (-)- noktah bertindih dsb.

[sumber web blog bahasa melayu..susunan cikgu Za] tq

Saturday, October 10, 2009

Tips Peperiksaan STPM BM 910/2

Kesalahan lazim dalam karangan Bahasa Melayu STPM

1. Banyak kesalahan struktur ayat. Ada beberapa contoh struktur yang lazimnya salah tetapi dianggap betul oleh calon.

i . Dengan ini mungkin pelancongan akan menjadi sektor ekonomi utama Malaysia. [ X]
Dengan ini, pelancongan mungkin akan menjadi sektor ekonomi utama Malaysia.

ii . Melalui pelancongan, akan dapat meningkatkan pendapatan negara. [X]
Melalui pelancongan, kerajaan akan dapat meningkatkan pendapatan negara.

iii. Penggunaan ubat-ubatan yang bermutu rendah yang digunakan oleh penduduk luar
bandar mendedahkan mereka kepada kesan sampingan yang berbahaya. [X]
Penggunaan ubat-ubatan yang bermutu rendah oleh penduduk luar bandar...

iv. Justeru, kerajaan harus bertindak menguatkuasakan undang-undang lalu lintas dengan lebih tegas.[x]
Kerajaan harus bertindak.......

v. Manakala penduduk tempatan pula menganggur.
Penduduk tempatan pula menganggur.

2. Kesalahan frasa banyak berlaku dalam karangan. Kesalahan tersebut sebenarnya merosakkan struktur ayat. Banyak contoh boleh dikemukakan.

i . menyumbangkan kepada pendapatan[X]
menyumbangkan pendapatan

ii . selain daripada itu/ selain dari itu [X]
selain itu

iii. adalah kerana [x]
adalah disebabkan

iv. Oleh yang demikian [x]
Oleh hal yang demikian

v. Oleh kerana/ oleh kerana itu [x]
Oleh sebab / oleh sebab itu

vi. Hal ini kerana [X]
Hal ini demikian kerana/ hal ini disebabkan

vii. selain itu juga [X]
selain itu

viii. juga turut [X]
juga / turut

ix. hakikat sebenarnya [x]
hakikatnya / sebenarnya

x. Namun... [x]
Namun begitu/ Namun demikian

xi. menganggur tidak bekerja
xii. mengeksport barangan ke luar negara/ mengimport petroleum ke dalam negara
xiii. faktor yang menjadi punca/ faktor yang menyebabkan

* kesalahan "lewah" dianggap sebagai kesalahan struktur ayat.

3. Calon gagal menggunakan kata hubung berpasangan yang betul, cth:

i. Walaupun...+ namun
ii. Bukan sahaja...+ malah/malahan
iii. Baik... + mahupun
iv. Sama ada...+ atau

* kegagalan calon mematuhi peraturan bahasa ini akan menjejaskan struktur ayat.

Thursday, October 8, 2009

hujan malam

hari ini aku melihat syaitan
menyiram malam
sendirian dia
mencurahkan hujan fitnah adu domba sombong bongkak
dalam hati manusia
hingga mereka berani berkata
"kamilah yang membawa bahgia"
"kami juga membawa derita"
sambil menuding jari ke langit
menepuk dada berhidung tinggi- tinggi
menyembunyikan rakan


syaitan yang gelak-gelak
merai kemenangan.

Kesalahan Bahasa dalam Bahasa Malaysia

1 . Hj. Shah Khir Khan memberitahu kepada Za yang So Sick Man demam pada hari itu.

analisis : memberitahu kepada salah kerana objek perlu hadir selepas kata kerja transitif aktif.
pembetulan: ...memberitahu Za...

analisis : yang So Sick Man salah kerana kata hubungan pancangan relatif ' yang' telah digunakan dalam ayat komplemen. Kta hubung yang sepatutnya digunakan ialah kata hubung pancangan komplemen 'bahawa'.

2. Tan Ah Hir minum dengan gelojoh.

analisis : minum dengan gelojoh salah kerana kata adjektif yang didahului oleh sendi nama 'dengan' perlu menerima kata penguat ' nya' bagi menerangkan kata kerja tak transitif 'minum'.
Tanpa kata penguat 'nya' tersebut, kata adjektif 'gelojoh' tergolong dalam kata nama, dan tentu sekali menyebabkan ayat tersebut salah dari segi semantik.

pembetulan: ...minum dengan gelojohnya

3. Malahan, Salman Khir langsung tidak mempedulikan nasihat Za.

analisis : Malahan...ayat ini salah dari segi struktur kerana kata hubung malahan tidak boleh hadir sebagai kata pangkal ayat.

pembetulan : Salman Khir...

4. Setiap orang manusia pasti pernah melakukan kesalahan.

analisis : kata bilangan pisahan 'setiap', tidak boleh diikuti oleh penjodoh bilangan.
pembetulan : setiap manusia ...

5. Meja yang berat itu tidak terangkat dengan kekuatan lelaki kurus itu.

analisis : kata kerja pasif imbuhan 'ter' tersebut sepatutnya diikuti sendi nama 'di'.
pembetulan : ...terangkat oleh

6. Khir Nani tidak peduli sama ada Fergie menurunkan semua pemain utamanya/\ dalam perlawanan galah panjang itu.

analisis : kata hubung berpasangan 'sama ada' sepatutnya menerima pasangannya, iaitu 'atau'.
pembetulan : ...sama ada.....atau pemain simpanannya

7. Kimi Raikokir/\ bertekad untuk memenangi pertandingan makan kuaci itu malah berjanji akan memecahkan rekod dunia dalam pertandingan itu.

analisis : kata hubung berpasangan malah sepatutnya menerima pasangannya ' bukan sahaja'.

pembetulan : ... bukan sahaja bertekad... malah berjanji

8. Rombongan perdagangan Malaysia yang diketuai disertai oleh ketua jabatan-ketua jabatan itu telah melawat negara Eropah.

analisis : kata nama majmuk yang dieja dengan dua perkataan menerima gandaan pada unsur pertama sahaja.

pembetulan : ketua-ketua jabatan

analisis : kata kerja tak transitif 'melawat' sepatutnya diikuti oleh sendi nama 'ke'.

pembetulan : ...melawat ke negara...

Monday, August 17, 2009

Terima Kasih Furqan

Kalau kau ingin tahu
haruman itu asalnya dari Furqan
yang datang menziarahiku di bulan rejab
tika pohon Muslimin yang ditanam ibuku lama dahulu
suburnya hilang ditelan dewasa

bertemu kali pertama
haruman Fatehah
aku menangis dalam ruang iman yang membusuk
Fatehah yang tersenyum
berbisik lembut penuh cinta
kita pernah berjumpa
25 tahun yang lalu

harumnya lain sekali

Friday, August 14, 2009

beloum poernah boerlaku

Aku sakit tolonglah rakan
sungai darahku tercemar
jernih merah warnanya
bertukar hitam dan membusuk
jernih warna merahnya
tidak selancar alir dahulu
dasarnya dipeluk mendaplumpur riak dan takbur yang tebal
tebing-tebingnya diperkosadinoda belukar sombongan yang tebal amat
kalau selusuri kamu ulusungai darahku
di sana tasik iman kontangku menunggu doa
hujan rahmat kata-kata yang benar dari celaan dan hinaan.

Thursday, July 9, 2009

Penderaan Pembantu Rumah

Punca-puncanya

1. Segelintir majikan menghadapi tekanan perasaan yang mungkin berpunca dari tempat kerja, masalah peribadi atau penyakit. Mereka cenderung mengalami perubahan sikap yang tidak dapat dikawal sama ada perubahan itu bercorak agresif atau kemurungan. Stres yang tidak dapat dikawal akan menyebabkan pembantu rumah menjadi sasaran melepaskan stres.

2. Kelemahan dan kecuaian pembantu rumah menjalankan tugas- kurang kemahiran akibat tak terlatih tetapi enggan belajar, malas, suka berfoya-foya, melawan, kurang pengetahuan tentang undang-undang dan persekitaran. Menimbulkan peluang kepada majikan yang tak bertanggungjawab untuk mendera.

3. Peruntukan undang-undang berkaitan kerjaya pembantu rumah tidak jelas, kurang diketahui, dan mungkin masih belum mencukupi.

Wednesday, May 27, 2009

Bahasa Malaysia 910/2 STPM



Bahagian A

Isu-Isu yang perlu diberi perhatian

1. Rempit - punca, cadangan untuk mengatasinya, dan kesan.
2. Buli dan gengsterisme dalam kalangan pelajar sekolah- punca, langkah mengatasi, dan kesan.
3. Pelancongan- sebab prospek pelancongan sangat baik untuk maju, cara memajukan industri
pelancongan, masalah yang dihadapi industri pelancongan, dan kesan kepada
negara/masyarakat.
4. Perubatan tradisional- punca diminati masyarakat, kesan.
5. Kemalangan kenderaan berat- punca, langkah mengatasi.
6. Kemalangan pengangkutan awam- punca, langkah mengatasi.
7. Kepercayaan tahyul- punca, langkah mengatasi, dan kesan.
8. Pertambahan penduduk di kawasan setempat- memorandum ( keburukan/masalah dan
saranan/usul menghadapi masalah itu



Monday, May 25, 2009

Kesan Merempit


Kesan-kesan buruk yang timbul daripada masalah merempit.


1. Meningkatkan masalah keruntuhan moral/akhlak dalam kalangan remaja- wujud pergaulan bebas, hilang sifat beradab, seks bebas dll.


2. Meningkatkan masalah kemalangan jalan raya- menjadi punca kemalangan kerana sikap cuai dan cara menunggang motosikal yang melulu oleh penunggang yang merempit.


3. meningkatkan masalah jenayah - ragut, bunuh, rogol, dadah, samun, curi motosikal dll.


4. menjejaskan imej pasukan keselamatan dan negara- tidak cekap, undang-undang boleh dipermain


5. pembaziran masa dan pendapatan negara untuk mengatasi masalah rempit- kempen, penguatkuasaan undang-undang, program khas.


6. menjejaskan ketenteraman awam- keamanan terganggu, keselamatan tergugat terutama di jalan raya, bising, aktiviti tidak bermoral di kawasan awam




Saturday, May 23, 2009

tercampakkah iman di saf masjid
sedang khutbah mencurah amanat
pada seminggu yang berdosa
bersihkan lumpur seluruh jiwa

aku yang di saf ini
menoleh ke dalam diri sendiri
ternampak ibu dan ayah tersenyum berdoa tak putus harap
mengalir rahmat di kelopak mata

Kuakui

Di sini aku akui

memaksa itu sememangnya benar menyeksa

terseksa itu menyubur pura-pura

hasilnya...

madu menjadi cuka

pahala menjadi dosa


aku ditendang mengantuk

ke pinggir mimpi

membawa kezaliman

yang tersangkut kukuh

pada kerasnya api tanggungjawab