Ada ramai pelajar yang tidak begitu cerdik semasa mereka menjawab soalan dalam peperiksaan walaupun sebenarnya mereka telah dibekalkan ilmu yang cukup oleh guru. Pelajar seperti ini selalunya gagal mengaplikasi kemahiran dan pengetahuan apabila menjawab soalan.Banyak rahsia untuk memikat pemeriksa telah didedahkan kepada pelajar namun jawapan pelajar masih lemah.
Hal ini boleh diumpamakan kisah seorang peserta pertandingan membuat kek. Sebelum pertandingan, peserta ini berusaha untuk belajar membuat kek yang sedap dan cantik. Dia sanggup merantau ke tempat yang jauh untuk mendapat ilmu membuat kek. Dia rajin melayari internet. Lebih dahsyat lagi, dia berusaha untuk mengenal pasti para hakim yang akan menghakimi pertandingan itu. Hakim pertama yang ditemuinya di Pulau Pinang mengatakan bahawa beliau akan memberi markah yang tinggi kepada peserta yang boleh menghasilkan kek yang warnanya tidak terang, manakala hakim kedua yang ditemui di Kuala Lumpur pula mengatakan bahawa beliau suka kek yang ada buah-buahan dan sangat benci dengan kek yang ada bunga. . Hakim ketiga yang ditemui di Sarawak pula mengatakan bahawa beliau akan memberi markah yang tinggi untuk kek keju yang diselaputi coklat.
Nah, waktu hari pertandingan dilangsungkan, peserta yang kurang cerdik ini membuat kek berwarna merah dan hijau yang terang-benderang, dia letakkan bunga di atas kek itu. Dia membuat sebiji kek keju yang kelihatan cantik.
Bolehkah peserta ini menang pertandingan tersebut? Markahnya tinggikah?
Jawapannya ada pada anda semua. Pengajarannya ialah taat kepada guru dan ilmu serta kemahiran yang diberi...janganlah pada hari peperiksaan berlangsung semua ilmu dan ajaran guru dicampakkan sebaliknya anda berpegang pada buku ramalan soalan semata-mata dan menggunakan teknik-teknik menjawab soalan daripada orang yang kurang berwibawa dan tidak dapat dipertanggungjawabkan.
No comments:
Post a Comment