PARA 1
ADUAN mengenai kekurangan guru di sekolah bukan suatu yang asing. Apabila masalah itu timbul, ia bukan saja menjejaskan proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah, malah turut membebankan guru lain. Suatu ketika dulu, kekurangan guru sering ditimbulkan terutama membabitkan subjek kritikal, khususnya Sains dan Matematik. Bagi mengatasi masalah itu, pelbagai langkah dan pendekatan diambil Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi.
PARA 2
Usaha dilakukan ialah menambah pengambilan guru pelatih membabitkan dua bidang berkenaan. Akhirnya, kekurangan guru dua subjek berkenaan dapat diatasi sepenuhnya. Bagaimanapun, agak mengejutkan apabila akhbar ini kelmarin melaporkan terdapat pula lebihan kira-kira 26,000 guru di seluruh negara, terutama yang mengajar berkenaan. Bilangan yang ramai itu masing-masing dua subjekmembabitkan 14,000 guru Sains dan 12,000 lagi guru Matematik. Keadaan itu jika tidak ditangani segera boleh menyebabkan pembaziran tenaga kerana kepakaran guru terbabit tidak dimanfaatkan secara optimum. Selepas guru berkenaan mendapat latihan khusus bagi mengajar subjek berkenaan, malangnya kemahiran mereka tidak digunakan sepenuhnya bagi mengajar dua mata pelajaran yang dianggap penting itu.
PARA 3
Disebabkan guru subjek berkenaan berlebihan, ada antara mereka terpaksa mengajar subjek lain yang tiada kena-mengena dengan opsyen mereka ketika menjalani latihan. Guru yang memiliki kepakaran mengajar subjek Fizik, Kimia dan Biologi diarah mengajar subjek lain seperti Pendidikan Islam, Pendidikan Jasmani dan Bahasa Inggeris, sudah tentu menimbulkan masalah dari segi keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. Keadaan itu juga pastinya mengecewakan ibu bapa yang mengharapkan anak mereka diajar oleh guru yang mahir dan pakar dalam subjek tertentu.
PARA 4
Kita percaya, tentunya ada guru yang kecewa dan hilang semangat kerana terpaksa mengajar subjek yang bukan menjadi kepakaran mereka. Jika dipaksa mengajar bidang yang tidak diminati, ia bukan saja boleh menghilangkan semangat guru terbabit, malah prestasi pelajar juga akan turut terjejas.Penjelasan Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi bahawa lebihan guru terbabit bukan membabitkan guru yang sedang berkhidmat, sedikit sebanyak memberi gambaran sebenar kedudukan masalah itu. Lebihan guru itu berlaku sebenarnya disebabkan penempatan untuk mengajar belum dibuat. Graduan bagi opsyen Sains dan Matematik itu belum ditawarkan penempatan berikutan lebihan penawaran guru subjek terbabit di seluruh negara. Justeru, kita harap Jawatankuasa Bersama Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi yang diwujudkan dapat mencari penyelesaian bagi menangani masalah itu.
PARA 5
Kedua-dua kementerian perlu membuat unjuran yang lebih tepat bagi memenuhi permintaan guru opsyen berkenaan di semua sekolah. Jika unjuran semasa bagi memenuhi kuota pengambilan guru opsyen berkenaan hanya 50 orang, adalah tidak wajar pengambilan guru pelatih dibuat melebihi daripada unjuran berkenaan. Sewajarnya guru pelatih itu ditawarkan opsyen lain yang dikenal pasti berlaku kekurangan, sebelum mereka diterima masuk menjalani latihan. Kita berharap jawatankuasa bersama antara dua kementerian terbabit dapat mencari kaedah dan penyelesaian terbaik agar masalah lebihan guru tidak berulang pada masa depan.
Sumber: Berita Harian
Senaraikan Intipati Bagi Setiap Para. Jawab soalan melalui email khirjohariamajid@gmail.com
No comments:
Post a Comment