Wednesday, July 27, 2011

Yang Mana Satu Betul!

Yang Dipertua, Yang di-Pertua, Yang Dipertuan dan Yang di-Pertuan


Pengguna bahasa Melayu masih keliru mengeja frasa Yang Dipertua, Yang di-Pertua, Yang Dipertuan dan Yang di-Pertuan. Kekeliruan ini mungkin disebabkan oleh ketidakselarasan penggunaan frasa tersebut, terutamanya dalam media cetak seperti akhbar dan majalah.

Mulai tahun 2000, pihak Dewan Bahasa dan Pustaka melalui Jawatankuasa Biro Pengaduan Bahasa telah memutuskan untuk menyelaraskan ejaan bagi frasa tersebut. Tiga bentuk penulisan yang betul telah diputuskan, iaitu Yang Dipertua, Yang di-Pertua dan Yang di-Pertuan manaka ejaan Yang Dipertuan dianggap salah. Penggunaan ketiga-tiga frasa tersebut adalah khusus untuk jawatan atau pangkat tertentu:

(i) Frasa Yang Dipertua digunakan khusus untuk ketua bagi sesebuah organisasi atau pertubuhan, contohnya:
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu
Yang Dipertua Dewan perniagaan Cina Malaysia
Yang Dipertua Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia

(ii) Bagi ketua dalam Dewan Negara, Dewan Rakyat dan Dewan Negeri, frasa yang digunakan ialah frasa Yang di-Pertua, contohnya:
Yang di-Petua Dewan Negara
Yang di-Pertua Dewan Rakyat
Yang di-Pertua Dewan Negeri

(iii) Frasa Yang di-Pertuan pula digunakan khusus untuk ketua negara dan ketua negeri, contohnya:
Yang di-Pertuan Agong
Yang di-Pertuan Besar (Negeri Sembilan)
Yang di-Pertuan Negeri (Melaka, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak)

Catatan:
Penggunaan bentuk ejaan Yang di-Pertua dan Yang di-Pertuan ini adalah selaras dengan bentuk yang digunakan secara rasmi oleh Jabatan Perdana Menteri dan bentuk ini juga telah digunakan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Sumber: Koleksi Pedoman Bahasa 2, muka surat 2, terbitan Bahagian Pengembangan Bahasa Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka.

No comments:

Post a Comment